KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menggandakan bilangan pelajar tajaan yang dihantar melanjutkan pengajian ke Turkiye tahun depan, susulan kejayaan penghantaran kumpulan perintis sebanyak 17 orang pada September tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas peluang pendidikan antarabangsa kepada pelajar cemerlang, selain memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Turkiye.
“Saya akan memastikan bahawa sekurang-kurangnya MARA pada tahun hadapan akan menghantar dua kali ganda jumlah pelajar ke universiti sama (Universiti Sabanci dan Universiti Teknikal Yildiz),” katanya dalam ucapan ringkas pada majlis makan malam bersama pelajar Malaysia dan warga Kedutaan Besar Malaysia di Istanbul, Turkiye malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Kehormat Malaysia di Bursa Turkiye, Datuk Cevdet Sefer.
Justeru, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kecemerlangan akademik kumpulan berkenaan penting bagi membuktikan pemilihan pelajar oleh MARA merupakan keputusan tepat sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Malaysia pada masa depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penghantaran kumpulan pertama pelajar itu berjaya direalisasikan pada September lepas, hanya empat bulan selepas perbincangan dimulakan, susulan arahan Ahmad Zahid supaya usaha berkenaan dilaksanakan dalam tempoh singkat.
“Ini bukan pelajar biasa, sebaliknya mereka merupakan antara pelajar terbaik yang dipilih daripada dua kolej persediaan MARA, selepas menunjukkan pencapaian cemerlang sejak peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya. – MalaysiaGazette


