KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahin sendiri yang sepatutnya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, lebih utama, Anwar juga perlu memohon ampun kepada Sultan Ibarahim dan bukan melepaskan beban isu AGC kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar.
“Bukan Peguam Negara sahaja yang perlu mengadap memohon ampun, yang lebih utama ialah Perdana Menteri sendiri wajib mengadap dan memohon ampun.
Semalam, Anwar berkata, beliau telah meminta Mohd. Dusuki segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan kenyataan AGC berkaitan tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri keenam itu.Menurut beliau, permohonan untuk menghadap Sultan Ibrahim telah pun dikemukakan oleh Mohd. Dusuki.
Beliau mengulas kenyataan AGC yang berpendirian, pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib wajar ditangguhkan sementara menunggu penjelasan undang-undang mengenainya dimuktamadkan.
Langkah tersebut wajar diambil sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan `Order of Discharge’, diselesaikan.
Menurutnya, isu-isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah, serta merupakan suatu keadaan yang belum pernah dihadapi sebelum ini.
Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata, oleh kerana semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi, sebarang hujah yang mempertikaikannya menjurus ke arah mengingkari perintah Seri Paduka. – MalaysiaGazette


