TELUK INTAN – Penduduk di daerah Hilir Perak khususnya sekitar Changkat Jong, di sini, terus berdepan ancaman banjir yang berlaku hampir setiap tahun sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, kerugian besar dan memaksa mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Penduduk Kampung Batu 7 ½, Jalan Changkat Jong (Felcra), Mohamad Ishak Ahmad, 65, berkata, dia yang menetap di kawasan itu sejak 1973 menyaksikan situasi banjir yang berlaku berubah-ubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, kejadian banjir yang berlaku di kawasan itu masih berulang antara sekali hingga dua kali setahun dan ia semakin membimbangkan berbanding dahulu.
“Mungkin keadaan ini disebabkan pembangunan yang semakin banyak. Dulu, walaupun banjir, kami tidak perlu berpindah dan masih boleh tinggal di rumah.
“Sekarang, dengan keadaan pembangunan ini, air tidak boleh dikawal. Paras air boleh naik sehingga dua meter,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) hari ini.
Mohamad Ishak berkata, banjir yang berlaku pada November tahun lalu menyebabkan hampir keseluruhan barangan miliknya musnah sehingga dia kehilangan tempat tidur dan terpaksa bermalam beralaskan tuala di atas lantai simen.

“Banjir pada November tahun lalu, saya habis terus. Apa pun tidak ada, habis sehelai sepinggang,“ jelasnya yang tinggal bertiga di rumah tersebut bersama isteri dan anak perempuannya.
Mengulas langkah mengatasi masalah itu, dia berpendapat sungai perlu didalamkan bagi meningkatkan keupayaannya menampung aliran air ketika hujan lebat.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Mariyambi Hamsa, 63, yang menyewa di Kampung Batu 8, Changkat Jong sejak lima tahun lalu berkata, kejadian banjir terbaharu bermula pada pagi Jumaat selepas hujan berterusan sehingga petang menyebabkan air naik.
Katanya, rumahnya sudah beberapa kali dilanda banjir sepanjang menetap di kawasan itu, malah kejadian berkenaan turut menyebabkan kerugian besar apabila pelbagai barangan keperluan rumah rosak.
“Sudah lima hingga enam kali kami duduk di sini dan berdepan banjir. Tahun lalu, barang-barang kami habis. Tilam semuanya terpaksa dibuang kerana terkena banjir. Peti ais jatuh, mesin rosak, termasuk kain baju. Rugi banyak,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan MPTI Langkap.
Lebih membimbangkan, Mariyambi berkata, keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan menyebabkan dia semakin sukar berdepan kejadian banjir berulang.

“Saya sakit banyak, baru kena strok, kemudian sakit jantung. Dulu saya sakit payudara. Darah tinggi dan asma pun ada. Saya mahu pindah. Macam mana mahu duduk kalau air sentiasa naik? Nanti saya semakin sakit. Bila air naik, semuanya susah,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia berharap agensi berkaitan dapat mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan supaya penduduk tidak terus berdepan kerugian dan terpaksa berpindah setiap kali hujan lebat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


