24,291 permohonan Solar ATAP diluluskan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24,291 permohonan Solar ATAP dengan kapasiti 391.85 megawatt (MW) telah diluluskan sehingga 15 September lalu, berbanding pada 30 April lalu di mana kapasiti yang diluluskan pada ketika itu hanya sekitar 135.92 megawatt (MW).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bermakna kelulusan kapasiti meningkat sebanyak hampir 190 peratus dalam tempoh 4.5 bulan.

Kata beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, bagi meningkatkan kemampuan pengguna domestik, kerajaan telah memperkenalkan SuRIA Home dengan peruntukan RM150 juta.

“Melalui program ini, pengguna yang layak boleh menerima rebat RM600 bagi setiap satu  kilowatt sehingga maksimum RM3,000 bagi pemasangan lima kilowatt.

“Program ini menyasarkan antara 45,000 hingga 50,000 kediaman sehingga kuota 250MW dipenuhi dan akan tamat pada 31 Disember 2026,” katanya pada Sesi Pemberitahuan Pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam bin Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyatakan pencapaian terkini Program Solar ATAP dan SuRIA Home termasuk jumlah kediaman yang telah menyertainya serta langkah kementerian untuk memperluas akses kepada golongan B40 dan M40 melalui rebat, skim sewaan atau pembiayaan mudah tanpa kos permulaan yang tinggi.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sehingga 15 September lalu, sebanyak 12,374 pengguna domestik yang telah menerima rebat yang berjumlah RM36.2 juta.

Menurutnya, selain rebat langsung, pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pemasangan solar melalui model pembiayaan pasaran seperti solar leasing atau rent-to-own yang dapat mengurangkan keperluan modal awal.

Kata beliau, model sedemikian boleh membantu memperluaskan akses kepada isi rumah yang mempunyai kekangan untuk membayar keseluruhan kos pemasangan secara tunai.

“Bagi memastikan manfaat peralihan tenaga dapat diperluas kepada kumpulan B40 dan M40, PETRA akan terus menilai prestasi Solar ATAP dan SuRIA Home, struktur kos pemasangan dan pilihan pembiayaan yang bersesuaian.

“Sebarang penambahbaikan akan mengambil kira keberkesanan bantuan, kemampuan fiskal kerajaan serta keperluan memastikan manfaat disalurkan secara telus kepada pengguna yang layak.

“PETRA juga akan terus bekerjasama dengan agensi yang berkaitan, pihak utiliti dan industri bagi memudah cara proses pemasangan serta meningkatkan kesedaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI