64 murid SJK(T) Chettiars teroka dunia STEM menerusi cabaran kereta kimia

IPOH – Seramai 64 murid Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Chettiars, di sini, berpeluang meneroka dunia sains secara kreatif menerusi aktiviti pembinaan dan pertandingan kereta kimia dalam Program STI 100³ 2026: Chemical Car Challenge anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO).

Program yang dilaksanakan menerusi inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) itu bertujuan memupuk minat murid sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal.

Menerusi program berkenaan, peserta dibahagikan kepada 30 kumpulan bagi membina kereta kimia sebelum menguji hasil ciptaan masing-masing dalam pertandingan yang menggabungkan elemen kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta aplikasi prinsip sains.

Lebih menarik, murid turut menerima bimbingan secara langsung daripada pensyarah dan pelajar PUO yang bertindak sebagai fasilitator, sekali gus menjadikan aktiviti berkenaan lebih interaktif menerusi perkongsian ilmu antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti sekolah.

Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, pendedahan kepada STEM melalui pendekatan kreatif dan menyeronokkan mampu mencetuskan rasa ingin tahu murid serta membantu mereka memahami bahawa sains bukan sekadar teori di dalam bilik darjah.

“Ilmu sains mempunyai aplikasi dalam kehidupan seharian dan boleh diterokai melalui pelbagai aktiviti yang menggalakkan pembelajaran secara pengalaman.

64 murid SJK(T) Chettiars teroka dunia STEM menerusi cabaran kereta kimia
Antara mereka yang telibat dalam Program STI 100³ 2026: Chemical Car Challenge anjuran PUO di SJKT Chettiars Ipoh. Foto Politeknik Ungku Omar

“PUO komited memperluas perkongsian kepakaran serta pengalaman dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat, khususnya golongan generasi muda.

“Usaha itu penting bagi melahirkan generasi yang celik teknologi, berfikiran kreatif serta berani meneroka bidang sains dan inovasi.

“Kita berharap program seumpama itu dapat membuka peluang kepada lebih ramai murid mengenali potensi pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM serta menjadikannya sebagai antara pilihan masa depan,” katanya.

Program yang diketuai Ts R Karthigeyen selaku pengarah program dan saintis itu mencerminkan komitmen PUO dalam memperkasa literasi sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif berkenaan juga selari dengan usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, kreatif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran perkembangan teknologi pada masa hadapan.

Majlis penutupan program itu turut dihadiri Pengarah Urusan Navira Meditech Sdn Bhd, Rajasegaran Selvaduray, selaku tetamu khas serta Guru Besar SJKT Chettiars, P Sarah Anbumalar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PUO perkasa WBL, perkukuh kecemerlangan TVET negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI