TAIPING – Pentcafe di Penjara Taiping, Jalan Taming Sari di sini, memperoleh Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan Gred A atau Sangat Bersih daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT), pada Jumaat.
Pengiktirafan itu diperoleh selepas premis berkenaan memenuhi semua syarat dan kriteria kebersihan serta keselamatan makanan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, pihaknya sebelum ini membantu pengurusan kafe berkenaan mengenal pasti keperluan yang perlu dipatuhi bagi melayakkannya memperoleh penarafan tertinggi itu.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk penyelesaian isu pelesenan, pemasangan perangkap minyak atau ‘grease trap’ serta memastikan pekerja mendapatkan suntikan tifoid.
“Pada peringkat awal, kafe ini masih baharu dan berdepan beberapa isu termasuk berkaitan lesen serta keperluan yang perlu dipenuhi bagi sebuah premis makanan.
“Jadi, saya meminta pegawai MPT membantu menyediakan senarai semak perkara yang perlu dipatuhi dan selepas dua hingga tiga bulan, pihak pengurusan Pentcafe berjaya melengkapkan semua keperluan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Lawatan ke Premis Makanan Terpilih Gred A di Pentcafe, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan serta Pengarah Penjara Taiping, Rizalma Che Abd Hamid.
Dalam pada itu, Mohamed Akmal berkata, pemasangan perangkap minyak masih menjadi antara aspek yang kurang diberi perhatian pengusaha premis makanan sehingga menyebabkan masalah saliran tersumbat.
“Antara perkara yang masih longgar ialah pemasangan ‘grease trap’ kerana kegagalan atau keengganan sesetengah pengusaha memasangnya boleh menyebabkan masalah longkang tersumbat,” ujarnya.
Justeru Mohamed Akmal berkata, pengiktirafan ke atas Penttcafe itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung sekali gus menjadikan premis makanan berkenaan sebagai satu lagi tarikan baharu di Taiping.
Sementara itu, Rizalma berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan satu pencapaian bermakna bagi Pentcafe yang mula dibuka kepada orang awam pada Ogos lalu.
Menurut beliau, pihak pengurusan mengambil langkah memenuhi semua ketetapan MPT termasuk melakukan pelaburan bagi memastikan tahap kebersihan premis berada pada standard ditetapkan.
“Walaupun bukan mudah dan memerlukan pelaburan, kami melihat perkara ini sebagai satu usaha untuk kebaikan semua serta memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk berkunjung ke sini.
“Pengiktirafan ini juga penting untuk membina keyakinan orang ramai terhadap tahap kebersihan premis makanan yang beroperasi di kawasan penjara serta melibatkan banduan sebagai penyedia makanan dan minuman,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Bazar Ramadan: Perak kekalkan syarat ada, fokus kebersihan alam sekitar


