TPM cadang tempoh PLKN dilanjutkan sehingga enam bulan

BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar tempoh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dipanjangkan sehingga 180 hari berbanding 45 hari ketika ini.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ia bagi memperkukuh disiplin, daya tahan dan pembentukan jati diri generasi muda.

Jelas beliau, meskipun tempoh latihan sedia ada selama 45 hari disifatkan mencukupi buat masa ini namun ia boleh ditambah baik secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya 90 hari sebelum dipanjangkan kepada 180 hari.

“Kalau ianya mahu lebih mantap haruslah difikirkan supaya dapat digandakan kepada 90 hari sekurang-kurangnya atau kemudian 180 hari kerana daya tahan dikalangan wira muda ini mesti diterapkan melalui kurikulum.

“InsyaAllah 4.0 atau 5.0 nanti dan ini juga tergantung kepada sejauh mana kemampuan pihak kerajaan mahu membiayai kursus yang baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, Jalan Simpang Empat, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Brigadier Jeneral Samad Igom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan ADUN Hutan Melintang, S. Wasanthee.

Seramai 269 pelatih PLKN 3.0 dari Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 503 AW Hutan Melintang diraikan selepas tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, cadangan berkenaan juga mengambil kira pelaksanaan latihan khidmat negara di beberapa negara lain yang menyediakan tempoh latihan sehingga setahun.

Katanya, walaupun Malaysia tidak semestinya perlu mengikuti sepenuhnya model negara berkenaan, pendekatan itu boleh dijadikan contoh dalam usaha membentuk generasi yang lebih berdisiplin dan mempunyai daya tahan tinggi.

“Banyak negara yang mempunyai latihan seumpama ini mengadakan latihan selama setahun. Mereka juga menjadi pegawai yang diserapkan dalam National Service sama ada pihak tentera, polis ataupun pertahanan awam.

“Kita tidak semestinya mengikuti acuan mereka tetapi boleh mencontohi negara berkenaan dan dalam jangka panjang, kita akan dapat mewujudkan suatu generasi yang berdisiplin serta mempunyai daya tahan yang kuat,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI