LUMUT – Sebuah kapal tangki yang merempuh tebing darat di Taman Rekreasi Madani Esplanade Marina Wing, di sini, pagi tadi dipercayai sedang menjalankan ujian pelayaran kapal (sea trial) tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, hasil siasatan awal mendapati kapal berkenaan sebelum ini dikenali sebagai Fuji.
Menurut beliau, bagaimanapun kapal berkenaan dipercayai telah bertukar pemilikan kepada pemilik baharu dari Thailand sebelum didaftarkan semula dengan nama Midas di negara tersebut.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada pihak Jabatan Laut, kapal berkenaan dipercayai telah keluar pada malam sebelumnya bagi tujuan menjalankan ujian pelayaran kapal (sea trial) tanpa kebenaran pihak berkuasa berkaitan
“Pemeriksaan awal ke atas kapal tersebut telah dilaksanakan oleh pihak polis daerah Manjung bersama agensi-agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seramai 10 kru kapal dan kesemuanya merupakan warganegara Thailand dan mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Katanya lagi, punca sebenar kejadian serta faktor yang menyebabkan kapal tangki berkenaan melanggar tebing masih dalam siasatan lanjut.
“Pihak berkuasa berkaitan juga sedang menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pendaftaran, kebenaran operasi serta perkara-perkara lain yangberkaitan dengan pergerakan kapal tersebut,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial sebuah kapal tangka melanggar tebing darat di Taman Rekreasi Madani Esplanade Marina Wing dalam kejadian sekitar jam 9.50 pagi. -MG Perak


