GOPENG – Jabatan Pertanian Negeri Perak menerima peruntukan sebanyak RM4.09 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Pertanian Komuniti sepanjang tempoh bagi tempoh lima tahun bermula sejak tahun 2022.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, peruntukan itu adalah hasil gabungan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Pelaksanaan program berkenaan telah memberi manfaat kepada 7,676 peserta melibatkan 3,410 lokasi di seluruh negeri.
“Penyertaan merangkumi kategori individu, komuniti, sekolah dan institusi,” katanya pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan program Junior Food Security Innovation Challenge (J-SinC 3.0) 2026 serta menyempurnakan Pelancaran Buku Hijau di Dewan Terbuka Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Dalam perkembangan sama, Khairudin berkata, sebanyak 2,620 kit Buku Hijau mula diedarkan pada majlis berkenaan susulan cadangan dan saranan Saarani berhubung langkah penjajaran semula peruntukan ketika berdepan krisis global beberapa bulan lalu.

Katanya, aktiviti pengeluaran makanan tidak semestinya bergantung kepada keluasan kawasan pertanian, sebaliknya ruang terhad di sekitar kediaman, kawasan lapang komuniti serta persekitaran sekolah juga boleh dimanfaatkan untuk penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman makanan lain yang bersesuaian.
“Program Buku Hijau itu dilaksanakan menggunakan peruntukan penjajaran semula pembangunan Jabatan Pertanian Negeri Perak susulan kesan konflik yang berlaku di Asia Barat.
“Daripada jumlah kit berkenaan, sebahagiannya akan diserahkan kepada sekolah terpilih, khususnya sekolah yang menyertai Pertandingan Inovasi Agro dan Pertandingan Laman Dapur pada hari ini manakala selebihnya akan diedarkan secara berperingkat menerusi pelbagai aktiviti serta program pengembangan pertanian.
“Inisiatif itu bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Perak mengamalkan konsep ‘tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam’ seperti disarankan Menteri Besar.
“Amalan berkenaan bukan sahaja dapat menghasilkan sumber makanan untuk kegunaan sendiri, malah berupaya mengurangkan beban kos sara hidup masyarakat.
“Secara keseluruhannya, Program Buku Hijau diharap dapat memperluaskan amalan pengeluaran makanan di peringkat isi rumah dan komuniti, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memanfaatkan ruang sedia ada untuk aktiviti pertanian,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RM14 juta perkasa sektor pertanian Perak, manfaat lebih 15,000 petani


