GERIK – Sebanyak RM14 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan dan negeri kepada Jabatan Pertanian Perak pada 2026 yang turut memberi manfaat kepada 15,427 orang petani, usahawan tani dan pesawah di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, melalui peruntukan berkenaan pelbagai program pembangunan pertanian dapat dilaksanakan dalam usaha memperkasa pembangunan sektor pertanian.
Beliau berkata, antaranya pelaksanaan projek peningkatan pengeluaran, pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi moden serta pengukuhan rantaian nilai agromakanan.
“Selaras dengan aspirasi memperkukuh keterjaminan makanan negara, Jabatan Pertanian Negeri Perak terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.
“Usaha ini dilaksanakan melalui peningkatan produktiviti, pengembangan teknologi pertanian, pengeluaran makanan yang mampan serta pembangunan komuniti tani yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Gazette (MG) Perak selepas hadir merasmikan Program Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Nosiyenti Othman.

Mengulas lanjut, Salbiah berkata, komitmen berterusan Jabatan Pertanian Perak turut diterjemahkan melalui peningkatan prestasi sektor tanaman makanan apabila pengeluaran pada tahun 2025 meningkat sebanyak enam peratus kepada 407,839 metrik tan berbanding 385,621 metrik tan pada tahun sebelumnya.
Jelasnya lagi, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan program pembangunan pertanian serta kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti tani dalam meningkatkan pengeluaran makanan negeri.
Katanya lagi, prestasi cemerlang sektor pertanian turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Perak.
“Berdasarkan Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai KDNK Negeri Perak meningkat kepada RM91.5 bilion berbanding RM86.6 bilion pada tahun sebelumnya.
“Dalam tempoh yang sama, sektor pertanian terus menjadi antara penyumbang utama ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 13.6 peratus bersamaan kira-kira RM12.4 bilion sekali gus membuktikan peranan strategiknya dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Hulu Perak yang berlangsung hari ini melengkapkan penganjuran 12 siri karnival tersebut bagi tahun ini yang berlangsung dari April hingga Julai.
Program ini menjadi platform strategik dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan pengembangan pertanian, pemindahan teknologi serta memperluaskan akses kepada inisiatif pembangunan pertanian kepada petani, usahawan tani dan pesawah di seluruh negeri Perak. -MG Perak


