Kapal tangki MT MIDAS berjaya ditarik keluar, JLM mulakan siasatan 

LUMUT – Kapal tangki MT MIDAS yang terkandas selepas melanggar tebing darat dekat Taman Rekreasi MADANI Esplanade Wing, di sini, telah berjaya ditarik keluar dari kawasan kejadian hari ini.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kapal tersebut kini berlabuh di perairan hadapan Tanjung Batu Agas sejak awal pagi tadi.

Menurutnya, sebuah bot tunda turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga berhampiran lokasi kapal berlabuh sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya bantuan kecemasan diperlukan.

“Susulan insiden itu, JLM telah melantik pegawai penyiasat kemalangan kapal bagi menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk meneliti faktor yang menyumbang kepada kejadian serta aspek keselamatan dan pematuhan peraturan pelayaran yang berkuat kuasa.

“Pelantikan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab JLM dalam memastikan setiap insiden kemalangan perkapalan disiasat secara teratur dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah penambahbaikan keselamatan yang bersesuaian,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu berkata, JLM melalui Jabatan Laut Wilayah Malaysia Utara turut memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan pelayaran, pergerakan kapal dalam had pelabuhan serta pematuhan kepada peraturan maritim.

“JLM memandang serius sebarang pengoperasian atau pergerakan kapal tanpa kebenaran sewajarnya, khususnya jika berisiko mengancam keselamatan pelayaran, kemudahan awam dan persekitaran marin.

“Siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal yang dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapati tiada sebarang tumpahan minyak atau pencemaran marin dikesan di lokasi kejadian,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kapal tangki rempuh tebing jalani ‘sea trial’ tanpa kebenaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI