TAPAH – Seorang anggota polis maut manakala empat lagi parah selepas sebuah van Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, hari ini.
Mangsa maut dikenal pasti sebagai Lans Korporal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, van jenis Maxus itu dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kiri pecah secara tiba-tiba sebelum melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam melalui IPD Tapah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati van berkenaan dipandu seorang anggota polis dengan membawa 10 penumpang dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka.
“Akibat kemalangan itu, beberapa penumpang tercampak keluar dari kenderaan.
“Seorang penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Alwi berkata, terdapat enam lagi anggota turut mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tapah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tapah di talian 05-401 1222.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penunggang motosikal maut terperosok bawah MPV, pembonceng cedera kemalangan tiga kenderaan


