IPOH – Bantuan makanan, kemudahan komputer riba, akses internet serta sokongan kos rumah sewa antara perkara yang diharapkan mahasiswa supaya diberi perhatian dalam Belanjawan Perak 2027 bagi meringankan beban kewangan sepanjang tempoh pengajian.
Tinjauan Malaysia Gazette Perak (MG Perak) mendapati, mahasiswa berharap kerajaan negeri memperluas inisiatif kebajikan dan pendidikan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta keperluan pembelajaran yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
Pelajar Diploma Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Muhammad Haris Yunus Ahmad Nazri, 18, dari Trong berkata, bantuan makanan perlu diperluaskan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya mereka yang menetap di luar kampus.

Menurutnya, bantuan itu membolehkan mahasiswa memberikan tumpuan kepada pelajaran tanpa dibebani kebimbangan mendapatkan makanan setiap hari.
“Bantuan makanan diperlukan supaya golongan yang tidak berkemampuan dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran dan tidak perlu terlalu memikirkan soal mendapatkan makanan.
“Pelajar IPT yang tinggal di luar kampus mempunyai banyak komitmen lain, termasuk bayaran sewa rumah,” katanya ketika ditemui di Koleh Poly-Tech Mara (KPTM) di sini.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Wan Noor Amylia Muhamad Wan Su, 18, pula berharap kerajaan negeri menyediakan bantuan peranti pembelajaran dan akses internet, terutama kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Katanya, komputer riba atau tablet adalah keperluan penting bagi memudahkan pelajar menyiapkan tugasan, manakala bantuan penempatan dapat membantu mengurangkan beban membayar sewa rumah.

“Pelajar memerlukan komputer riba dan internet untuk memudahkan urusan menyiapkan tugasan. Peranti peribadi amat diperlukan, khususnya bagi golongan B40.
“Saya sendiri merasakan tablet dapat memudahkan pembelajaran. Selain itu, bantuan penempatan juga penting kerana dapat mengurangkan kos menyewa rumah,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Azlan bin Azahari, 19, yang turut mengikuti pengajian Diploma TESL, mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan langganan perisian digital seperti Canva yang digunakan secara meluas oleh mahasiswa untuk menyiapkan tugasan akademik.
Menurutnya, kos langganan perisian berkenaan juga perlu diberi perhatian kerana perbelanjaan bulanan yang kelihatan kecil boleh menjadi beban kepada pelajar sekiranya ditanggung secara berterusan.
“Langganan Canva banyak digunakan oleh pelajar Perak untuk menyiapkan tugasan seperti menghasilkan poster dan sebagainya.
“Setahu saya, kos langganan Canva adalah sekitar RM20 sebulan bagi seorang pengguna, manakala kos tahunan lebih tinggi. Jika digunakan secara berterusan, jumlah perbelanjaan itu agak tinggi dan pelajar yang kurang berkemampuan sukar untuk mengeluarkan wang bagi tujuan berkenaan,” jelasnya.

Justeru, mahasiswa berharap Belanjawan Perak 2027 dapat memberi penekanan kepada bantuan pendidikan yang lebih menyeluruh, meliputi keperluan makanan, peranti pembelajaran, kemudahan internet, kos kediaman serta perbelanjaan digital.
Mereka berpandangan bantuan sedemikian bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan kewangan, malah membantu memastikan mahasiswa dapat meneruskan pengajian dengan lebih selesa tanpa terlalu dibebani kos sara hidup.
Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukan RM4 juta bagi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa sebagai komitmen memperkasa kebajikan mahasiswa anak Perak.
Inisiatif diberikan kepada mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.
Bantuan Sara Diri diberikan mengikut peringkat pengajian, iaitu RM500 bagi pelajar Diploma, Ijazah Sarjana Muda (RM700), Sarjana (RM800) dan Doktor Falsafah (RM1,000).
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Kecemasan Mahasiswa bagi membantu pelajar yang berdepan situasi luar jangka seperti kemalangan, masalah kesihatan serius, kecurian atau musibah lain. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bantuan Makanan Percuma TCS manfaat 28,000 pelajar, libat RM3.91 juta


