Dakwaan DUN Perak bubar: MB nasihat rakyat jangan sebar maklumat palsu

BATU GAJAH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menasihati orang ramai terutamanya rakyat negeri ini agar tidak menyebarkan maklumat palsu tanpa menyemak kesahihahn berita terlebih dahulu.

Menurut beliau, ini kerana laporan yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Baru-baru ini, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengadakan mesyuarat di kediaman rasmi Menteri Besar.

“Ketika kami sedang bermesyuarat, kami memeriksa telefon bimbit masing-masing dan mendapati berita sedang tersebar kononnya DUN negeri telah dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) 2026 di Kampung Seri Jaya, di sini, pada Khamis.

Saarani berkata demikian susulan dakwaan kononnya beliau telah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Saarani berkata, laporan tidak benar itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, sedangkan pembubaran DUN memerlukan pelbagai persediaan rapi.

Katanya, pihak polis perlu berada dalam keadaan bersiap siaga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat persediaan, manakala pejabat daerah pula perlu mengatur petugas pilihan raya.

“Malah, ketua-ketua kampung juga mungkin mula tertanya-tanya sama ada mereka masih memegang jawatan masing-masing pada bulan hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.

Semalam MG Perak melaporkan Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan yang tersebar dalam media sosial kononnya Saarani telah mengadap Sultan Perak bagi memohon memohon pembubaran DUN dan telah mendapat perkenan.

Menerusi satu kenyataan, Pejabat Menteri Besar memandang serius penyebaran maklumat tidak benar, khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Pejabat ini turut mengesan penyebaran grafik menyerupai siaran berita televisyen selain penyiaran semula bahan berita lama, sehingga boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan semasa Dewan Negeri Perak,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI