PADANG RENGAS: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tidak wajar dipilih semula sebagai calon wakil rakyat pada pilihan raya umum akan datang ekoran mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan Poay Tiong berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu ketika solat Jumaat, disifatkan menyusahkan gabungan Pakatan Harapan meskipun beliau telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
Menurut beliau, kritikan terhadap dasar sesebuah kerajaan negeri boleh dikritik namun sebarang teguran perlu mengambil kira latar belakang dan keadaan sesuatu isu bagi mengelakkan kenyataan yang tidak sensitif.
“Masalah sebahagian dalam kalangan mereka ini adalah politically tone deaf (tidak sensitif) dan semua perkara hendak dipolitikkan.
“Orang macam ini akhirnya akan menjadi beban kepada kita. Dia lebih baik tidak lagi dicalonkan sebagai calon di Kota Melaka selepas ini kerana menyusahkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Pelajar di Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas, di sini, pada Sabtu.
Menurut Muhammad Kamil, pihaknya menghargai permohonan maaf yang dibuat Poay Tiong, namun kesan daripada kenyataan berkenaan sudah berlaku memandangkan isu itu membabitkan perkara sensitif.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut menyuarakan harapan agar Poay Tiong menjadikan kontroversi berkenaan sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan terutamanya berkaitan isu agama.
“Kritikan yang datang bukan daripada orang luar tapi dalam kalangan pemimpin parti sendiri. Beberapa pemimpin mereka sendiri telah menzahirkan kekesalan terhadap apa yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, Poay Tiong menerusi hantaran di laman sosialnya membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan arahan penutupan sementara operasi premis perniagaan selama dua jam dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat yang didakwa boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Beliau menganggap arahan berkenaan mencerminkan pengaruh dasar keagamaan konservatif parti Islam terhadap pentadbiran awam.
Tindakannya itu kemudian mendapat dikritik hebat selepas mempertikai larangan aktiviti perniagaan atau hiburan pada waktu solat Jumaat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). -MG Perak


