Ekonomi berkembang, Perak dijangka bentang Belanjawan 2027 lebih RM1.7 bilion

IPOH – Belanjawan Perak 2027 dijangka melepasi RM1.7 bilion susulan perkembangan ekonomi negeri yang semakin memberangsangkan, khususnya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan prestasi pelaburan yang positif.

Bercakap kepada Malaysia Gazette, Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, belanjawan negeri berpotensi meningkat antara lima hingga tujuh peratus kepada RM1.69 bilion hingga RM1.72 bilion berbanding RM1.61 bilion pada 2026.

Menurutnya, unjuran itu mengambil kira trend peningkatan peruntukan negeri dalam tempoh lima tahun terakhir yang menunjukkan pertumbuhan purata tahunan sekitar 10 peratus, daripada RM1.10 bilion pada 2022 kepada RM1.61 bilion pada 2026.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar peningkatan belanjawan mula sederhana kepada 5.9 peratus pada 2026 berbanding pertumbuhan dua angka yang direkodkan pada 2024 dan 2025.

“Justeru, saya menjangkakan Belanjawan Perak 2027 berpotensi meningkat sekitar lima hingga tujuh peratus, iaitu kepada RM1.69 bilion hingga RM1.72 bilion.

“Namun, peningkatan tersebut perlu mengambil kira kemampuan kewangan negeri, prestasi kutipan hasil dan keutamaan pembangunan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Zainizam berkata, prospek peningkatan belanjawan itu disokong pertumbuhan ekonomi Perak sebanyak 5.7 peratus pada 2025, mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional sebanyak 5.2 peratus.

Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya

Katanya, nilai KDNK negeri turut meningkat daripada RM86.6 bilion pada 2024 kepada RM91.5 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan perkembangan aktiviti ekonomi yang semakin positif.

Selain itu, prestasi pelaburan turut memberikan petunjuk memberangsangkan apabila Perak merekodkan RM15.8 bilion pelaburan diluluskan pada tahun lalu.

“Perkembangan ini memberikan prospek positif kepada kegiatan perindustrian, peluang pekerjaan dan hasil negeri dalam jangka sederhana, tertakluk kepada pelaksanaan sebenar projek yang diluluskan.

“Kerajaan negeri juga dilaporkan mencatatkan kutipan hasil hampir RM1.49 bilion pada 2025,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak terlalu agresif meningkatkan perbelanjaan memandangkan Belanjawan 2026 turut mengunjurkan defisit sebanyak RM95.5 juta.

Menurutnya, keupayaan kewangan negeri perlu terus dipelihara bagi memastikan setiap peningkatan peruntukan disokong sumber hasil yang mampan dan tidak menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan negeri.

Beri penekanan kepada usaha tingkat pertumbuhan ekonomi

Dalam pada itu, beliau berpandangan Belanjawan Perak 2027 perlu memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kualiti pertumbuhan ekonomi supaya perkembangan yang dicapai turut diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan lebih baik.

Katanya, meskipun Perak mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.7 peratus pada 2025, KDNK per kapita negeri masih sekitar RM42,000 berbanding RM59,000 di peringkat nasional.

“Jurang ini menunjukkan masih terdapat ruang besar untuk meningkatkan produktiviti dan nilai tambah ekonomi negeri, justeru pembangunan ekonomi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kadar pertumbuhan semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembangunan industri bernilai tambah tinggi dipercepatkan dengan memanfaatkan potensi sektor automotif di Tanjong Malim, industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik di Kerian, selain industri maritim di Lumut.

Katanya, projek strategik seperti Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), Kerian Industrial City (KIC) dan Automotive High-Tech Valley (AHTV) perlu diberikan sokongan sewajarnya menerusi penyediaan infrastruktur dan latihan kemahiran.

Beliau berkata, Perak juga berpotensi melengkapkan ekosistem perindustrian Pulau Pinang dan Kulim, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan industri bernilai tinggi.

Pada masa sama, Zainizam berkata, kerajaan negeri perlu memastikan kemasukan pelaburan turut memberikan kesan langsung kepada peningkatan kualiti pekerjaan dan kadar gaji tenaga kerja tempatan.

Katanya, gaji bulanan median pekerja di Perak pada 2025 ialah RM2,173, iaitu kira-kira 26 peratus lebih rendah berbanding RM2,940 di peringkat nasional.

“Insentif pelaburan dan pembangunan industri perlu dikaitkan dengan penciptaan pekerjaan berkemahiran, kadar gaji lebih baik serta pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan merapatkan jurang pembangunan antara daerah menerusi peruntukan yang lebih bersasar mengikut potensi ekonomi setempat.

Menurutnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024 menunjukkan pendapatan isi rumah median di Manjung dan Kinta masing-masing sebanyak RM5,380 dan RM5,136, berbanding Selama yang hanya sekitar RM3,827.

Justeru, katanya, pembangunan ekonomi tidak seharusnya tertumpu di Ipoh, Kinta dan kawasan perindustrian utama sahaja, sebaliknya perlu diperluas kepada ekonomi luar bandar, pertanian moden, pelancongan serta perusahaan kecil.

Dalam aspek kesejahteraan rakyat, beliau berkata, isu kos sara hidup dan kemiskinan juga perlu diberikan perhatian apabila kadar kemiskinan Perak menurun daripada 7.5 peratus pada 2022 kepada 6.9 peratus pada 2024, namun masih melebihi kadar nasional sebanyak 5.1 peratus.

Katanya, peruntukan belanjawan perlu memberi tumpuan kepada bantuan bersasar, peningkatan produktiviti pengeluaran makanan, pengangkutan, perumahan mampu milik dan penyediaan kemudahan asas.

Selain itu, beliau berkata, cabaran masyarakat menua turut perlu menjadi antara pertimbangan utama kerajaan negeri dalam merangka Belanjawan 2027.

Jelasnya, Perak merekodkan bahagian penduduk berusia 65 tahun ke atas tertinggi di Malaysia, iaitu sekitar 10.8 peratus pada 2026, sekali gus memerlukan perhatian lebih serius terhadap ekonomi penjagaan, perkhidmatan kesihatan dan mobiliti warga emas.

“Belanjawan 2027 perlu beralih daripada sekadar menggalakkan pertumbuhan ekonomi kepada pertumbuhan yang lebih berkualiti dan inklusif.

“Keutamaannya adalah meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi, mengurangkan jurang pembangunan antara daerah dan memastikan kesejahteraan rakyat turut meningkat seiring pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI