Tiada keperluan mendesak bubar DUN Perak selepas bentang belanjawan negeri 2027 – Saarani

IPOH – Tiada keperluan mendesak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak setakat ini, meskipun timbul khabar angin kononnya pembubaran akan dilakukan selepas pembentangan Belanjawan Perak 2027 esok.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang permohonan pembubaran DUN bukanlah keputusan yang boleh dibuat oleh beliau secara bersendirian, sebaliknya tertakluk kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, beliau perlu menghadap Sultan Perak terlebih dahulu bagi mengemukakan alasan yang munasabah dan konkrit sebelum memohon pembubaran DUN.

Tambahnya, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, sekiranya Menteri Besar memohon pembubaran DUN namun tidak diperkenankan oleh Sultan, beliau perlu meletakkan jawatan.

“Kita kena ingat bukan Menteri Besar yang membubarkan DUN tetapi Tuanku. Jadi untuk memastikan ia berlaku, pertama Menteri Besar kena menghadap Tuanku untuk memberi alasan yang munasabah. Kalau setakat bajet dah habis nak bubar, tak boleh. Mesti ada alasan yang munasabah.

“Contoh, jika tiba-tiba rakan strategik kita daripada Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, maka saya kena menghadap Tuanku untuk memaklumkan bahawa kerajaan tak cukup kerusi.

“Bagaimanapun, itu bergantung kepada Tuanku sama ada hendak bubar atau tidak, Tuanku punya prerogatif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri Kelapan di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tempoh pentadbiran kerajaan negeri masih panjang dan khabar angin yang mengaitkan pembubaran DUN selepas pembentangan belanjawan negeri adalah tidak benar.

Katanya, pembubaran DUN tidak boleh dibuat berdasarkan sentimen atau kehendak semasa semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk tahap kesiapsiagaan jentera pilihan raya, persiapan parti serta kemampuan kewangan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kemenangan UMNO di beberapa negeri baru-baru ini boleh menjadi pemangkin untuk Perak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal, Saarani berkata momentum politik semata-mata tidak memadai untuk dijadikan alasan membubarkan DUN.

“Kita tidak membubarkan DUN berdasarkan ‘mood’ seperti itu. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Jika sekadar bergantung kepada ‘mood’, adakah kita sudah bersedia? ‘Mood’ satu perkara, persiapan pula perkara lain.

“Kita belum bersedia untuk pembubaran lagi. Jentera pusat daerah mengundi (PDM) belum bersedia dan kita juga tidak mempunyai peruntukan kewangan,” ujarnya.

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sudah menjelaskan bahawa kemenangan parti itu di tiga negeri tidak bermakna Pahang dan Perak perlu mengikut jejak langkah mengadakan PRN.

“Itu yang dinyatakan Presiden dan saya mengikut pendirian Presiden,” katanya.

Saarani turut menjelaskan hubungan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini masih berada pada tahap baik serta tiada sebarang masalah yang menjejaskan kelancaran pentadbiran.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang benar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dakwaan DUN Perak bubar: MB nasihat rakyat jangan sebar maklumat palsu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI