Kursus pra perkahwinan Islam percuma buat pasangan muda Perak

IPOH – Perak buat julung kali memperkenalkan kursus praperkahwinan Islam percuma, Menuju Cinta Sakinah, dengan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membantu pasangan muda membuat persediaan mendirikan rumah tangga.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif menerusi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dijangka memberi manfaat kepada 3,000 bakal pengantin dalam kalangan rakyat Perak.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 3,000 bakal pengantin rakyat Perak yang memenuhi syarat, sebagai bekalan ilmu dan persediaan melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, menerusi belanjawan sama, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM4 juta bagi meneruskan Program Tabarru’ Khairat Kematian sebagai bantuan kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 NOVEMBER 2026.

Menurut Saarani, sebanyak RM47.7 juta pula disediakan bagi pelbagai bantuan kebajikan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), meningkat RM400,000 berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah tersebut, RM37 juta diperuntukkan khusus bagi Bantuan Am Negeri untuk membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, menerusi Belanjawan Perak 2027, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM3 juta bagi Program Sayangi Rumahku menerusi Yayasan Perak untuk membina dan membaik pulih kediaman keluarga kurang berkemampuan.

“Sebanyak RM3 juta lagi diperuntukkan bagi Program Pinjaman Perakku Prihatin untuk membantu rakyat yang layak mendapatkan pembiayaan perumahan.

“RM2.5 juta pula disediakan bagi penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rancangan Perumahan Awam (RPA), bagi membaiki kediaman yang daif, demi memastikan penghuni berasa selesa dan selamat,” katanya. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Kemahiran solekan jadi kerjaya, mampu raih lebih RM10,000 sebulan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI