RM92 juta naik taraf 194 pasar awam, pusat penjaja di Perak

IPOH – Sebanyak RM92.53 juta peruntukan disalurkan bagi melaksanakan 194 projek naik taraf pasar awam dan pusat penjaja di seluruh negeri Perak bagi tempoh tahun 2023 hingga 2026.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Sandrea Ng Shy Ching berkata, projek berkenaan melibatkan pelbagai skop kerja termasuk penambahbaikan ruang niaga, sistem perparitan, bumbung, tandas awam, pencahayaan serta kemudahan untuk peniaga dan pengunjung.

Katanya, daripada jumlah projek berkenaan, sebanyak 43 projek diluluskan pada tahun 2023 dengan peruntukan RM10.29 juta, diikuti 66 projek bernilai RM30.89 juta pada 2024.

“Pada 2025, sebanyak 44 projek direkodkan dengan peruntukan RM30.78 juta, manakala bagi tahun ini, sebanyak 41 projek dilaksanakan dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM20.56 juta.

“Ada di antara projek ini mungkin tidak melibatkan peruntukan yang begitu besar. Namun, bagi peniaga yang setiap hari berhadapan dengan masalah bumbung bocor atau sistem perparitan yang kurang baik, penambahbaikan tersebut membawa makna yang cukup besar kepada mereka.

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan PBT dalam mengenal pasti keperluan serta mengusahakan peruntukan bagi menambah baik kemudahan-kemudahan ini,” katanya.

Lokasi: Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Abdul Yunus Jamahri (PN-Kuala Kurau) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.

Menurut Shy Ching, pelaksanaan projek naik taraf bukan sekadar bertujuan membaiki kemudahan uzur, sebaliknya turut memberi penekanan kepada peningkatan kualiti dan fungsi pasar awam agar bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menerapkan elemen reka bentuk sejagat atau ‘universal design’ bagi memastikan kemudahan berkenaan lebih mesra warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Ini termasuk penyediaan laluan pejalan kaki yang rata, tidak licin dan bebas halangan, laluan landai, susur tangan, tandas serta petak parkir khas OKU dan tempat duduk rehat di lokasi bersesuaian.

“Aspek pencahayaan, pengudaraan, sistem perparitan, laluan berbumbung dan susun atur gerai turut diberi perhatian bagi mewujudkan persekitaran pasar yang lebih selamat, selesa dan mudah diakses,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PBT di negeri ini turut digalakkan menerapkan penggunaan teknologi bersesuaian seperti pembayaran tanpa tunai, kamera litar tertutup (CCTV) serta sistem pemantauan dan pengurusan kemudahan yang lebih sistematik.

Menurut beliau, pelaksanaan penambahbaikan itu dibuat secara berperingkat dengan mengambil kira Garis Panduan Pasar Sejahtera yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta aspirasi Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040, tertakluk kepada keperluan dan peruntukan semasa. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Pasar Buntong berusia lebih 70 tahun bakal dinaik taraf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI