Tabung khas perlu diwujud, selamatkan tanah warisan Melayu Manjoi lebih 100 tahun

KUALA LUMPUR – Penubuhan tabung khas bagi membantu penduduk Gugusan Manjoi menyelamatkan pemilikan tanah warisan keluarga yang berusia lebih 100 tahun perlu disegerakan bagi mengelak mereka kehilangan hak milik akibat kekangan kewangan.

Pengerusi Penyelaras Program DUN Manjoi, Azrin Ahmad Kadri berkata, tabung berkenaan penting bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menanggung kos permohonan pelanjutan tempoh pajakan atau pemberimilikan semula tanah.

Menurutnya, Gugusan Manjoi yang merupakan antara kawasan perkampungan Melayu terbesar di Malaysia meliputi keluasan melebihi 500 hektar dan mempunyai nilai sejarah serta warisan yang perlu dipelihara.

“Walaupun peringatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya pemilik tanah menyemak tempoh pemilikan masing-masing amat dihargai, masih ramai penduduk berdepan kekangan kewangan untuk menguruskan proses berkenaan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tambun.

Beliau berkata, tabung khas itu boleh dimanfaatkan bagi membantu membiayai permohonan di bawah Seksyen 90A dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara, tertakluk kepada syarat serta kelulusan pihak berkuasa negeri.

“Pengurusan tabung juga perlu dilaksanakan secara telus dan sistematik melalui kerjasama kerajaan negeri, wakil rakyat serta persatuan penduduk supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Saya menyeru agar cadangan penubuhan tabung khas ini diberikan perhatian serius dan direalisasikan dengan segera,” ujarnya.

Tambah beliau, tanah di Gugusan Manjoi bukan sekadar aset atau harta, sebaliknya menjadi warisan sejarah, identiti dan lambang kelangsungan komuniti Melayu yang telah bertapak lebih satu abad.

Justeru, katanya, usaha mempertahankan pemilikan tanah penduduk Manjoi merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan warisan berkenaan terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI