Pemandu PBT hilang sejak Selasa, lori ditemukan berkunci di Taman DR Seenivasagam

IPOH – Seorang penjawat awam yang bertugas sebagai pemandu di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, manakala lori yang digunakannya ditemukan dalam keadaan berkunci di kawasan Taman DR Seenivasagam.

Kehilangan Muhammad Hafiq Azhari, 35, disedari selepas dia tidak hadir bekerja selama dua hari berturut-turut pada Rabu dan Khamis lalu.

Abangnya, Muhamad Hasri Azhari, 38, berkata, adiknya kali terakhir dikesan berada di kawasan Taman DR Seenivasagam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar jam 10 hingga 10.30 pagi Selasa lalu.

Menurutnya, rakaman itu menunjukkan Muhammad Hafiq berjalan seorang diri di kawasan berkenaan dalam keadaan seolah-olah sedang menunggu seseorang.

“Setakat ini, kami belum memperoleh rakaman CCTV lain untuk mengetahui ke mana adik pergi selepas itu. Berdasarkan rakaman CCTV itu, dia dilihat memakai baju sejuk berwarna hitam dan topi bertulis XPDC.

“Kami cuba menghubunginya tetapi telefon bimbitnya tidak aktif,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Muhamad Hasri berkata, keluarga hanya mengetahui adiknya tidak hadir bekerja selepas majikan menghubungi ibu mereka sekitar tengah hari Khamis.

Katanya, lori yang digunakan adiknya turut ditinggalkan di kawasan Taman DR Seenivasagam pada hari kejadian dalam keadaan berkunci.

Lebih merisaukan keluarga, Muhammad Hafiq tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku ketika pulang ke kampung beberapa hari sebelum dilaporkan hilang.

“Ahad lepas dia ada balik kampung di Kampung Gajah. Ibu maklumkan, dia kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan atau berkongsi masalah yang dihadapi, sama ada berkaitan pekerjaan mahupun kewangan.

“Sepanjang pengetahuan kami pun, dia tidak pernah mengadu berdepan sebarang masalah sebelum ini,” katanya.

Menurut Muhamad Hasri, laporan polis berhubung kehilangan adiknya telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Khamis.

“Kami sangat bimbang tentang keselamatannya kerana sehingga kini tiada sebarang khabar berita atau petunjuk mengenai keberadaannya,” katanya.

Orang ramai yang ternampak atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan Muhammad Hafiq diminta menghubungi ahli keluarganya di talian 017-5232904 atau 017-5664346, atau memaklumkan kepada pihak polis.

– MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Kru warga Thailand hilang di perairan Pantai Remis ditemukan selamat

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI