Arwah tak pernah lokek dengan senyuman – Jiran

IPOH – “Arwah tidak pernah menunjukkan muka marah, dia selalu senyum,” kata Borhan Mohd Yatim, 53.

Borhan adalah jiran kepada Allahyarham Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54, atau lebih dikenali sebagai Hamdan Senario yang meninggal dunia tengah hari tadi.

Menurutnya, mengetahui berita mengenai pemergian Allahyarham daripada anaknya.

“Kami memang ada mendengar arwah dikhabarkan meninggal dunia dan terkejut kerana tak percaya.

“Jadi, isteri cuba hubungi isteri arwah tetapi tak dapat. Kami cuba menghubungi anaknya yang memaklumkan arwah telah meninggal sekitar jam 12.40 tengah hari,” katanya ketika ditemui di Taman Bercham Raya, petang tadi.

Dalam pada itu, Borhan menyifatkan Allahyarham seorang yang tidak sombong dan tidak pernah bertengkar dengan sesiapa.

“Walaupun kami berjiran namun kami jarang jumpa disebabkan arwah sibuk dengan kerjayanya tetapi kami selalu lepak minum di kedai mamak.

“Kali terakhir saya dan arwah bertemu di kedai mamak pada minggu lepas,” ujarnya.

Arwah tak pernah lekang dengan senyuman - Jiran
Rusdi Mohd Razali, 52, jiran kepada penyanyi, pelakon dan pelawak, Allahyarham Ahmad Hamdan Mohamed Ramli atau lebih popular dengan nama pentas Hamdan Senario di Taman Bercham Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 JANUARI 2024.

Sementara itu, seorang lagi jiran, Rusdi Mohd Razali, 52, berkata, dia sudah berjiran dengan Allahyarham sejak taman perumahan itu dibuka sejak tahun 2000.

Dia mengetahui Allahyarham meninggal dunia melalui adik iparnya.

“Arwah memang seorang yang sangat baik dan banyak menolong saya,” katanya.

Industri hiburan tanah air hari ini kehilangan seorang lagi permata selepas pemergian penyanyi, pelakon dan pelawak, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli atau lebih popular dengan nama pentas Hamdan Senario.

Setiausaha Agung, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah menerusi satu kenyataan berkata, allahyarham meninggal dunia pukul 12.50 tadi pada usia 54 tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Beliau berkata, arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah, komplikasi jantung dan buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan empat anak iaitu Muhamad Zeyreen Misha, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21, serta isteri, Norhamalini Ahmed, 53. – MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI