IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa, mengetepikan keputusan terbuka atau ‘open verdict’ oleh Mahkamah Koroner pada 10 Januari lalu yang memutuskan seorang anggota polis bertindak menembak mati seorang pemuda dengan alasan mempertahankan diri 12 tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed ketika membacakan keputusan berkata, didapati tiada unsur mempertahankan diri oleh anggota polis terbabit, selain mangsa tidak memiliki sebarang senjata ketika kejadian.
Abang mangsa, Anbughani Pakeer Mohamed, 45,ketika ditemui berkata keputusan itu memberi kelegaan dan dapat membersihkan kembali nama baik serta imej keluarganya.
“Selepas ini, kami sekeluarga akan berbincang dengan pihak peguam untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Wakil kepada keluarga mangsa yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Rani Rasiah berkata keputusan itu memberi satu kelegaan yang besar kepada keluarga dan mangsa kerana mangsa sebelum ini dituduh sebagai penjenayah.
“Ketika kejadian, mangsa merupakan seorang belia yang baik kerana tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Selepas ditembak mati, ada laporan menyebut ia kerana ketika kejadian mangsa bersama tiga rakannya cuba melakukan rompakan di sebuah pusat hiburan,” katanya lagi.
Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj bertindak sebagai responden, manakala mangsa diwakili peguam M. Puravalen.
Seramai 14 saksi telah dipanggil sepanjang tempoh inkues itu berlangsung termasuk dalam kalangan anggota polis.
Pada September 2011, seorang lelaki berusia dalam 30an ditembak mati oleh seorang anggota polis di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Mustafa Albakry, dekat sini.
Kejadian berlaku selepas mangsa bersama tiga lelaki lain dikatakan masuk ke dalam sebuah kelab malam berkenaan sebelum berlaku pergaduhan disusuli kejadian tembakan di luar premis. -MG Perak
Artikel Berkaitan: