IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri dalam perancangan untuk membangunkan perpustakaan digital.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, bagaimanapun kerajaan negeri sedang memberi penumpuan kepada penambahbaikkan infrastruktur bangunan-bangunan perpustakaan di negeri ini.
“Perkara ini memang dalam perancangan kita yang mana kita sedang menjalankan kerja-kerja perlu, untuk memastikan usaha pembangunan perpustakaan digital dapat direalisasikan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja meninjau perkembangan terkini kerja-kerja naik taraf Perpustakaan Awam Negeri Perak di Jalan Raja Dihilir, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Rafidah Abdul Aziz.
Mengulas tentang lawatan berkenaan, Khairudin yang juga Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri berkata, bangunan tiga tingkat itu ditutup selama setahun bermula 15 Januari lalu.
Menurut beliau, penutupan sebagai memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan itu bagi menyelesaikan masalah kerosakan serta kebocoran bumbung untuk keselesaan pengunjung.
Khairudin menjelaskan, kerja-kerja yang melibatkan pembaikan bumbung dan lantai serta pendawaian itu dijadualkan siap pada Mei 2025 dengan kos RM2.7 juta dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Semua bahan bacaan yang ada di perpustakaan ini telah ditempatkan semenmtara di dua unit rumah kedai yang kita sewa di sini bagi tujuan keselamatan.
“Selain itu, ada juga bahan-bahan bacaan yang kita hantar ke perpustakaan-perpustakaan cawangan di seluruh negeri.
“Jadi sepanjang penutupan ini, orang ramai boleh berkunjung ke semua perpustakaan cawangan dan desa yang ada di seluruh negeri untuk meneruskan aktiviti mereka khususnya menambah ilmu,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Khairudin berkata, Perak menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mengikuti program literasi Kecerdasan Buatan (AI).
Walau bagaimanapun, Khairudin berkata kerajaan negeri yakin Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan yang terbaik untuk usaha itu demi melahirkan insan yang seimbang dengan intelektual, rohani, dan jasmani. -MG Perak
Artikel berkaitan: