Pakaian seragam sekolah: Harap garis panduan fleksibel, bukan wajib

SERI ISKANDAR: Kerajaan Negeri Perak menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) yang menetapkan pemakaian seragam sekolah selama dua hari bagi setiap minggu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, walau bagaimanapun beliau berharap garis panduan yang akan dikeluarkan nanti bersifat fleksibel dengan tidak mewajibkan ketetapan itu sebaliknya ia hanya sebagai alternatif kepada pelajar sekolah.

Katanya, ini kerana beliau bimbang sekiranya pelaksanaannya diwajibkan ia mungkin akan membebankan ibu bapa atau penjaga khususnya yang berada dalam kategori kurang berkemampuan.

“Apabila pelaksanaan ketetapan itu kelak, setiap pelajar perlu ada tiga set pemakaian persekolahan yang berbeza. Dan dalam hal ini, ia perlu mengambil kira kemampuan ibu bapa atau penjaga untuk menyediakannya.

“Cuma, istilah ‘digalakkan’ itu lebih sesuai (berbanding jika diwajibkan), supaya ia kelihatan tidak membebankan khususnya kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk berdepan dengan persiapan sesi persekolahan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan alat tulis kepada 196 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar, pada Selasa.

Antara yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja itu ialah pen, pensel, pemadam, pembaris serta bekas alat tulis lutsinar yang mematuhi prosedur Lembaga Peperiksaan.

Khairudin diminta mengulas berkenaan pengumuman KPM pada Jumaat lalu yang menetapkan pemakaian seragam sekolah selama dua hari bagi setiap minggu bagi sesi persekolahan 2024/2025 mulai Mac ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, kelonggaran pemakaian baju sukan yang ketika ini dibenarkan di fasiliti KPM juga diteruskan selama dua hari manakala sehari lagi ditetapkan untuk pemakaian seragam kokurikulum.

Kelonggaran pemakaian baju sukan dibuat KPM sejak 3 Mei tahun lalu susulan cuaca panas melanda negara bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan terhadap murid, guru dan kumpulan pelaksana.

Dalam pada itu, Khairudin yakin KPM akan mengeluarkan garis panduan yang terperinci dalam masa terdekat dengan mengambil kira daripada semua aspek. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bantuan awal persekolahan: Guru besar, pengetua diingatkan patuh garis panduan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI