BATU GAJAH – Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang ditahan kerana disyaki merogol pelajar Tingkatan Empat di daerah Perak Tengah sebelum ini sekali lagi ditahan reman di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan satu lagi kes rogol pada Jumaat.
Suspek berusia 42 tahun itu ditahan reman selama sehari bagi satu lagi kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Hakim Juraidah Abbas membenarkan permohonan reman terhadap lelaki terbabit selama sehari bagi membantu siasatan.
Peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid dan Ng Xin Ru yang mewakili suspek ketika ditemui memaklumkan antara hujahan mereka adalah anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dan juga merupakan seorang anggota polis.
Terdahulu, suspek terbabit tiba di mahkamah sekitar jam 8.30 pagi menaiki van dan berpakaian serba hitam sebelum meninggalkan mahkamah kira-kira jam 10 pagi.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pegawai berpangkat sarjan ditahan kerana disyaki merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun sekitar Julai dan Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek yang bertugas di daerah Perak Tengah itu direman selama empat hari mulai 28 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rogol pelajar: Reman sarjan disambung sehari