Sembilan termasuk ibu, anak mengaku tidak bersalah terlibat penipuan skim pelaburan

IPOH – Sembilan individu termasuk ibu dan anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan terlibat dengan penipuan skim pelaburan yang menyalahi undang-undang pada pertengahan bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, R Tharumaraj Pillai, 34; R Vassanthakumar; 24; Subash Kavnder, 25; Muhammad Hafizuddin Rafi Muhammad Keettikandy, 24; Hema Tharshini, 26; C Kasturi, 20; S Dhaarshini, 24; seorang ibu tunggal berusia 47 dan anaknya, 14 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Sembilan individu termasuk ibu dan anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan terlibat dengan penipuan skim pelaburan yang menyalahi undang-undang pada pertengahan bulan lalu. Foto: ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan satu pakat jahat jenayah bersetuju melakukan penipuan skim pelaburan yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Lingkaran Meru Valley, Meru Valley Resort, dekat sini pada 17 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vathira Wong Rui Fern, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam RS Kirthiraj.

Terdahulu, Vathira meminta mahkamah menawarkan jaminan RM8,000 kepada lapan tertuduh dewasa sementara jaminan RM5,000 ditawarkan kepada tertuduh berusia 14 tahun.

Kirthiraj bagaimanapun meminta agar mahkamah dapat menawarkan kadar jaminan yang minimum memandangkan kebanyakkan anak guamnya tertdiri daripada gologan berpendapatan rendah, mempunyai tanggungan keluarga, tiada pekerjaan dan ada yang tidak bersekolah.

Sembilan individu termasuk ibu dan anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan terlibat dengan penipuan skim pelaburan yang menyalahi undang-undang pada pertengahan bulan lalu. Foto: ANIQ NABILAFIQ ANUAR

“Kes ini melibatkan nilai kerugian berjumlah RM20,000 dan kesemua mereka telah direman selama dua minggu.

“Saya memohon kadar jaminan yang rendah dapat ditawarkan kerana saya percaya prinsip wang jaminan adalah bukan bersifat hukuman,” katanya.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM3,500 kepada kesemua tertuduh berusia 20 hingga 47 sementara RM2,000 kepada tertuduh berusia 14 tahun.

Mahkamah juga menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pesara guru kerugian RM442,947 ditipu pelaburan tidak wujud

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI