Polis mohon kerjasama orang ramai kesan baki 38 PATI lolos

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, menyeru orang ramai bekerjasama mengesan baki 38 pendatang tanpa izin (PATI) warga asing yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 91 PATI terdiri daripada etnik Rohingya dan warga Bangladesh berjaya ditahan setakat jam 5.45 petang pada Selasa.

“Pada 6 Februari pasukan operasi khas Polis Diraja Malayia (PDRM) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menangkap enam lagi lelaki etnik Rohingya.

“Pecahan tangkapan dari 1 hingga 6 Februari adalah seramai 66 PATI berjaya diberkas pihak PDRM manakala 25 orang lagi ditahan oleh pihak JIM,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Yusri turut memohon kerjasama ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa.

“Kejayaan yang amat dibanggakan sepanjang operasi ini dijalankan dengan jumlah penangkapan yang telah dibuat dan operasi mengesan, menangkap akan diteruskan sehingga dalam tempoh tertentu,” katanya.

Semalam Mohd Yusri pada sidang media memaklumkan, soal siasat yang dijalankan ke atas semua PATI yang ditahan setakat ini, mendedahkan bahawa rakan mereka yang masih bebas sedang bersembunyi di sekitar Tapah.

Ujar beliau, berdasarkan maklumat pencarian polis selepas menjalankan soal siasat ke atas PATI yang ditangkap mengatakan bahawa semua rakan mereka yang masih bebas sedang bersembunyi sekitar Tapah dan Bidor.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini mereka semua melarikan diri sehelai sepinggang, tidak bawa apa-apa barang keperluan barang asas dan mereka mengharapkan bantuan orang ramai,” katanya.

Terdahulu MG Perak melaporkan PATI warga asing termasuk etnik Rohingya dipercayai menjadikan hutan sekitar daerah Tapah dan Bidor sebagai tempat persembunyian mereka. -MG Perak

Artikel Berkaitan:
PATI lolos: 83 ditangkap, 46 lagi masih diburu polis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI