800 pelajar, warga pendidik ikuti program ‘Tanya Cikgu Saarani’

PARIT BUNTAR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meluangkan masa kira-kira dua jam bersama lebih 800 pelajar dan warga pendidik pada Program Mesra ‘Tanya Cikgu Saarani’ di Dewan Permai Kerian di sini, pada Khamis.

Selain itu, turut diadakan sesi soal jawab antara pelajar dan Saarani pada slot akhir program tersebut.

Pelbagai intipati disampaikan Saarani kepada para peserta terutamanya melibatkan pencapaian Perak Sejahtera 2030 menerusi perkembangan projek-projek terkini berkaitan pelaburan, perlombongan lantanid serta pembangunan modal insan dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri kini giat meningkatkan pelaburan menerusi projek yang sedang dijalankan di sekitar negeri ini.

800 warga pendidik, pelajar ikuti program 'Tanya Cikgu Saarani'
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Program Mesra ‘Tanya Cikgu Saarani’ bersama pelajar dan warga pendidik daerah Kerian di Dewan Kerian Permai, Parit Buntar.
Foto: ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Menurutnya, menerusi kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara pelbagai projek sedang dilaksanakan bagi membangunkan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di Perak.

Antaranya termasuklah pembukaan Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) Silver Valley Technology Park (SVTP), Perak Halal Industrial Park @ Lekir (Perak HIP) dan Kerian Integrated Green Industrial Park.

Saarani turut menjelaskan bahawa hasil sumber mineral galian unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Hulu Perak membantu dalam meningkatkan ekonomi di negeri ini.

Dalam pada itu, Saarani turut memaklumkan terdapat pelbagai bantuan dan intensif yang disediakan kerajaan negeri bagi pelajar sekolah dan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

800 warga pendidik, pelajar ikuti program 'Tanya Cikgu Saarani'
Sebahagian pelajar yang menghadiri Program Mesra ‘Tanya Cikgu Saarani’ bersama pelajar dan warga pendidik daerah Kerian di Dewan Kerian Permai, Parit Buntar.
Foto: ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Katanya, bantuan yang disediakan termasuklah Biasiswa Menteri Besar, Insentif Siswa Yayasan Perak (INSIS YP), Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak, Bantuan Sara Diri Mahasiswa Perak, Bantuan Kecemasan Mahasiswa Perak dan Skim Biasiswa Pertanian Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian (SADC) Negeri Perak.

‘Tanya Cikgu Saarani’ adalah salah satu program turun padang Menteri Besar Perak bersempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 2 yang diadakan di daerah Kerian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Program Tanya Cikgu Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI