‘Yob Kuang’ seberat 156 kilogram ditangkap

IPOH – Harimau belang yang menyerang seekor lembu ternakan di Kampung Ulu Kuang, Chemor, berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada Sabtu.

Penolong Pengarah Kanan PERHILITAN Perak, Nor Hani Abdul Samat berkata, harimau belang jantan itu dianggarkan seberat 156 kilogram (kg) dan diberi nama ‘Yob Kuang’.

Katanya, berdasarkan siasatan haiwan liar itu juga dianggarkan berusia enam tahun.

“Pada jam 11 pagi, pihak PERHILITAN telah melakukan pemeriksaan pada perangkap kamera yang dipasang mendapati harimau belang itu telah berjaya masuk ke perangkap.

“Hasil pemeriksaan mendapati haiwan itu berkemungkinan datang dari Hutan Simpan Bukit Kinta, atau sejauh 2.4 kilometer (km) dari lokasi tangkapan,” katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Menurut beliau, perangkap kamera itu telah dipasang berhampiran bangkai lembu di lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan berhubung serangan harimau pada Jumaat.

Tambah beliau, Harimau terbabit kemudian dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu media melaporkan tular gambar di media sosial menunjukkan lembu yang mati dipercayai telah dibaham harimau di Kampung Ulu Kuang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ulu Kuang, Hamdan Ishak ketika dihubungi berkata tangkapan terhadap haiwan liar itu memberi kelegaan kepada penduduk kampung selepas lebih setahun dibelenggu ketakutan.

“Penduduk mengadu ada terserempak dengan harimau malah ada terjumpa kesan tapak kaki.

“Ada antara mereka tidak berani keluar untuk menoreh getah dan tuai buah sawit dek kerana bimbang akan keselamatan diri.

“Syukur, apabila harimau yang saiz besar itu berjaya masuk perangkap,” ujarnya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Harimau kumbang betina ‘terjerat’ selepas dua bulan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI