Kampung Baru Cina: Kor Ming enggan panjangkan isu

IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengambil pendekatan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut susulan cadangan beliau mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP, enggan memanjangkan isu berkenaan kerana dibimbangi kenyataannya dimanipulasi serta dikritik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya tahu, sekali saya komen, satu perkataan (sahaja) jadi lari tajuk.

“Cerita itu pun sudah tutup, tidak ada isu pun sebenarnya jadi eloklah kita move on,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodland di Bandar Baru Tambun di sini pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan Kor Ming mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki itu berkata, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kampung Baru Cina: Kor Ming panggil pemimpin UMNO & bermusyawarah

Kampung Baru Cina: Ahmad Zahid tidak pernah terima panggilan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI