Agihan kotak makanan diserah kembali kepada Yayasan Perak – Saarani

SUNGAI SIPUT – Kerajaan Negeri Perak tidak akan menyalurkan bantuan kotak makanan melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebaliknya mengembalikan semula tugas itu kepada Yayasan Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu dilakukan berikutan terdapat pihak tertentu yang menampal pelekat tertera logo parti politik di kotak makanan tersebut.

Menurutnya, pemberian kotak makanan ini bukan untuk meraih laba politik tetapi bagi membantu rakyat yang memerlukan.

“Sebelum ini, Yayasan Perak tidak cukup staf sebab pada waktu itu tugasnya adalah memberi perhatian kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan.

“Bila kita bagi RM5 juta, dia (Yayasan Perak) nak kena kena deliver berapa puluh, ratus ribu kotak makanan, dia tak cukup staf.

“Jadi, kerajaan waktu itu telah gunakan pusat khidmat kerajaan untuk mengedarkan kotak makanan. Maknanya, ia bukan tugas pusat khidmat untuk mengedarkan kotak makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Agrofest Peringkat Negeri Perak 2023 yang diadakan di Ladang Infoternak Sungai Siput (U), pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim.

Katanya, apabila beliau dilantik menjadi Menteri Besar, pemberian kotak makanan disambung semula dan diserahkan melalui pusat khidmat ADUN kerajaan termasuk pembangkang.

“Bila saya jadi Menteri Besar kita sambung beri kotak makanan bukan sahaja kepada pusat khidmat ADUN kerajaan tetapi kita bagi juga kepada pusat khidmat pembangkang.

“Harus diingat kotak makanan itu adalah wang kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab kepada Yayasan Perak untuk mengedarkannya kepada rakyat yang susah di negeri ini.

“Tiba-tiba, ada beberapa pusat khidmat yang buat dia punya sticker sendiri, dilekatkan dan tulis di situ sumbangan ikhlas daripada pusat khidmat dia, which is wrong,” ujarnya.

Justeru, Saarani mengeluarkan arahan kepada Yayasan Perak supaya terus mengagihkan kotak makanan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik mulai Oktober ini. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI