Ahli perniagaan rugi RM1.25 juta terpedaya skim pelaburan mata wang kripto

IPOH – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM1.25 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto yang kononnya menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima laporan berhubung kes itu daripada mangsa yang berusia 45 tahun, pada 10 Julai lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan telah diperkenalkan kepada beberapa individu yang menawarkan peluang pelaburan mata wang kripto dengan menjanjikan keuntungan lumayan pada sekitar Januari tahun lalu.

“Sebagai usaha meyakinkan mangsa, beberapa sesi penerangan telah diadakan sebelum mangsa bersetuju menyertai pelaburan tersebut.

“Dalam tempoh antara 28 Mac hingga 17 April 2025, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan aset digital ke dompet digital yang diarahkan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Alwi berkata, lelaki berkenaan bagaimanapun gagal memperoleh pulangan seperti yang dijanjikan selain tidak dapat mengeluarkan semula modal pelaburan.

Beliau berkata, selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1.25 juta.

Justeru kata beliau, polis membuka kertas siatasan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau pulangan tetap yang tidak munasabah.

“Orang ramai disaran membuat semakan latar belakang syarikat, platform dan individu yang menawarkan pelaburan serta mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

“Elakkan membuat pemindahan wang atau aset digital kepada individu atau akaun yang kesahihannya tidak dapat disahkan,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pesara kerajaan rugi lebih RM1.7 juta diperdaya ‘pihak berkuasa’

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI