Alif Teega dituduh salah guna wang infaq lebih RM63,000

KUALA LUMPUR – Pempengaruh, Alif Teega mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan salah guna wang infaq pada April dan Jun lalu.

Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Faham, saya mohon dibicarakan,” katanya ketika perbicaraan berlangsung.

Mengikut pertuduhan pertama, Aliff didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Mekah, Syria dan Palestin.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! Sertai Infaq Daging Qurban.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah bank di KL Gateway Mall 2, Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, di sini pada 26 April dan 15 Jun lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memohon jaminan dikenakan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapi Aliff.

Ia termasuk syarat tambahan dengan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu pertama setiap bulan hingga kes selesai.

Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Mohd Shahrullah Khan memohon jaminan direndahkan kepada RM10,000 kerana kesemua harta dan duit Alif telah dibekukan oleh pihak SPRM.

Terdahulu, Aliff yang memakai baju kemeja kotak hadir ke sini dengan ditemani isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26 serta abang kandungnya sekitar jam 8.30 pagi tadi.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azura kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan termasukn seorang penjamin warga tempatan berseta syarat tambahan diminta pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 21 Oktober depan.

Pada 11 Julai lalu, Alif dan isterinya yang juga pempengaruh popular direman empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Perintah reman dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan mereka.

Sebelum ini, pasangan tular di media sosial itu menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pasangan suami isteri itu juga menegaskan mereka tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi. MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI