IPOH – Seorang anggota polis berpangkat Konstabel ditemui maut dalam keadaan leher tergantung di sebuah premis di Pekan Bharu, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 2.15 petang tadi.
Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tergantung dan tiada kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hopital Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sekitar jam 6 petang tadi bagi mencari punca kematian.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh tekanan pada leher akibat gantung (neck compression due to hanging).
“Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan siasatan di bawah laporan mati mengejut (SDR) sedang dijalankan,” katanya pada Jumaat.
Abang Zainal Abidin berkata, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu dipercayai mengalami masalah kemurungan.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini, diminta tampil memberi keterangan kepada Ketua Polis Balai Pekan Bharu Inspektor Azrene Shazwani Abd Manap di talian 019-2702236 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kita memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai supaya bersabar dalam apa jua keadaan dan tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” ujarnya.
Beliau juga turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menularkan serta memuat naik imej atau video tempat kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MPV langgar lampu isyarat disyaki punca dua beradik maut