APMM Perak dan TLDM tahan kapal korek China

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menahan sebuah kapal korek dari China di perairan Tanjung Hantu, di sini, pada Isnin.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Kapal Chuan Hong 68 yang berdaftar di Fuzhou, China itu, ditahan kira-kira jam 3.10 petang, semalam pada jarak 14.8 batu nautika barat laut perairan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati, kapal korek itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dibantu oleh 47 kru yang terdiri daripada 20 kru warga China, 26 kru warga Bangladesh dan seorang kru warga Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 68 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal korek tersebut gagal mengemukakan dokumen asal kapal, port clearance dan seorang kru tidak mempunyai nama dalam senarai kru kapal,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

60 tong gas LPG memasak 14 kg berwarna kuning tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut dijumpai.

Tambah Shukri, pihaknya juga menemui 60 tong gas LPG memasak 14 kg berwarna kuning tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kira-kira bernilai RM9,000.

“Kesemua kru dan kapal ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen asal kapal, port clearance dan seorang kru tiada dalam senarai nama kru kapal serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tiada dokumen yang sah bagi membawa barangan kawalan.

“Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil,” ujarnya. – MG Perak.

Artikel Berkaitan:

400 anggota, pegawai TLDM, APMM tamat ekseais bersama

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI