400 anggota, pegawai TLDM, APMM tamat ekseais bersama

LUMUT – Seramai 400 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), berjaya menamatkan Eksesais Samudera Perkasa Barat 6/2023 yang bermula 17 Oktober lalu hingga hari ini.

Latihan edisi keenam yang dijalankan di Kuantan, Pahang dan Perairan Laut China Selatan itu, diadakan bagi memperkukuhkan kebolehoperasian bersama kedua-dua pasukan perkhidmatan tersebut.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, peluang kolaborasi tersebut sentiasa dimanfaatkan oleh TLDM sepenuhnya dalam usaha memacu kompetensi warga dan ketersediaan aset bagi memastikan keselamatan maritim negara terpelihara.

Menurutnya, bertemakan, ‘Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, Carilamat dan Pengenalan Evolusi Di Laut’, eksesais kali ini melibatkan TLDM yang diwakili oleh Kapal Diraja (KD) Terengganu, KD Gempita, sebuah pesawat Fennec dan Fast Combat Boat (FCB), manakala APMM diwakili oleh Kapal Maritim (KM) Pekan, KM Amanah, sebuah pesawat AS365 N3 Dauphin dan Bot Perkasa.

“Di samping itu, terdapat juga penglibatan Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM serta Pasukan Selam daripada kedua-dua perkhidmatan.

“Untuk meningkatkan persefahaman dalam kalangan peserta, eksesais dimulakan dengan fasa pelabuhan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) bagi membolehkan rancangan pelaksanaan latihan fasa laut dibincangkan dengan teliti oleh Pegawai Operasi secara ‘table-top’.

“Selain itu, beberapa latihan seperti Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA), Vertical Replenishment (VERTREP), Medical Evacuation (MEDEVAC), Diving Exercise (DIVEX), Boarding Exercise (BOARDEX) serta kelas Deck Landing Training (DLT) dan Ilmu Kelautan juga dilaksanakan di pelabuhan bagi menentukan segala prosedur difahami oleh semua peserta yang terlibat,” katanya.

400 anggota, pegawai TLDM, APMM tamat ekseais bersama
Seramai 400 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tamat menjalankan Eksesais Samudera Perkasa Barat 6/2023 bermula 17 hingga hari ini. – Foto Ihsan TLDM

Kenyataan itu menambah, turut dititikberatkan semasa fasa ini adalah latihan bersepadu antara PASKAL dan Pasukan PTK.

“Semasa fasa laut, kebolehoperasian peserta dan aset-aset yang terlibat telah diuji dengan pelbagai siri latihan meliputi aspek navigasi, Maritime Security Operations (MSO) dan aktiviti mencari dan menyelamat seperti latihan Pandu Arah Taktikal, Deck Landing Training dan Visit, Board, Search & Seizure (VBSS).

“Turut dilaksanakan, latihan menangani kecemasan di laut seperti kebakaran dan kebanjiran.

“Pada fasa penutup, segala penemuan telah dibentangkan semasa Post Exercise Debrief (PXD) untuk penambahbaikkan prosedur operasi standard (SOP) kedua-dua perkhidmatan,” ujarnya.

Eksesais diakhiri dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama (M), Zulinda Ramli di Auditorium AMSAS yang turut dihadiri Timbalan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Shaiful Nizam Abdul Manan. – MG Perak.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI