‘Balai Cerap Tan Sri Harussani’ hargai jasa, peranan bekas Mufti Perak

TANJUNG MALIM – Bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria bukan sahaja sering menjadi rujukan dalam bidang agama Islam, malah turut memainkan peranan penting dalam hal ehwal pengurusan fatwa dan falak syarie ketika hayatnya. 

Justeru, bagi mengenang jasa tokoh agamawan itu, sebuah balai cerap moden yang berada di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) di sini, dinamakan sebagai Balai Cerap Tan Sri Harussani. 

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata nama Allahyarham dipilih selepas mengambil kira sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan sebagai Mufti Perak bermula pada tahun 1985 sehingga 2021. 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis perasmian Kompleks Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dan Balai Cerap Tan Sri Harussani di Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2023

“NRECC berharap, pembinaan Balai Cerap Tan Sri Harussani dapat meningkatan kesedaran umum berkaitan ilmu falak, kepentingan memulihara alam sekitar dan pembangunan yang mampan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Perasmian Kompleks INSTUN dan Balai Cerap Tan Sri Harussani di sini, pada Selasa. 

Hadir sama ke Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Exco Kerajaan Negeri. 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan galeri Balai Cerap Tan Sri Harussani di Kompleks Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2023

Kerja-kerja pembinaan Balai Cerap Tan Sri Harussani bermula pada tahun 2019 sebelum ia tertangguh akibat COVID-19 dan diteruskan pada tahun 2021. 

Ia akhirnya siap dibina pada Julai lalu dengan menelan belanja sebanyak RM7.086 juta dan menjadi  balai cerap kedua di Perak selepas di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Batu, di  Manjung.

Sementara itu, Tiong Sii berkata kira-kira 70,000 peserta daripada latar belakang khususnya warga pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan telah mendapatkan latihan di INSTUN.

Galeri Balai Cerap Tan Sri Harussani di Kompleks Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2023

Menurutnya, INSTUN mula melatih peserta luar negara di bawah peruntukan Kementerian Luar Negeri (KLN) iaitu ‘Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP)’ bermula pada tahun 2015. 

“Sehingga ke hari ini, INSTUN telah melahirkan lebih 80 orang alumni MTCP daripada 20 buah negara seperti Kemboja, Thailand, Myanmar, Filipina, Maldives, Mesir dan beberapa negara lain.

“Sebagai sebuah Institut Latihan Awam (ILA), INSTUN memainkan peranan aktif menyumbang kepada badan ilmu menerusi penerbitan ilmiah, kajian  penyelidikan, depositori secara atas talian dan perkhidmatan Perpustakaan INSTUN. 

“Penerbitan Jurnal INSTUN berjaya di masukkan ke dalam Indeks MyJurnal di bawah Pusat Sitasi Dan Infometrik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya lagi. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI