Bangkai Pak Belang ditemukan di lebuh raya PLUS

IPOH – Seekor harimau belang mati selepas dipercayai dilanggar sebuah treler berhampiran dengan kawasan Hentian Sebelah Gua Tempurung, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Gopeng, pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian itu berlaku pada jam 12.30 pagi tadi.

Katanya, hasil siasatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di lokasi mendapati harimau jantan berkenaan dianggarkan berusia lapan hingga 10 tahun.

“Kami percaya harimau belang itu adalah haiwan yang sebelum ini dilaporkan menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk di sekitar Kampar.

“Penularan wabak demam babi Afrika (ASF) menyebabkan punca populasi babi hutan turun mendadak di kawasan berkenaan, dan akibat daripada itu harimau berkenaan mula merayau hingga masuk ke kawasan pinggir hutan serta kampung.

“Susulan daripada itu, harimau belang berkenaan mula mengesan lembu yang dimiliki penduduk kampung yang dibiarkan bebas di pinggir hutan, ladang dan sebagainya.

” Jadi, haiwan itu kemudian mendapat diet baru yang lebih mudah untuk diserang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Kok Lim, bangkai harimau belang itu telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk tindakan lanjut.

Selain itu, Ujarnya lagi, berdasarkan pemerhatian Perhilitan, badan-badan bukan kerajaan termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF) melalui pemasangan perangkap kamera, populasi hidupan babi hutan sememangnya masih kurang.

“Jadi, potensi untuk hidupan itu masuk semula ke hutan tebal masih rendah yang akhirnya mengakibatkan populasi babi hutan masih kurang.

“Walau bagaimanapun kajian dan siasatan lanjut akan terus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,” katanya lagi.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 12 saat yang memaparkan bangkai seekor harimau belang ditemukan di bahu jalan berhampiran dengan Hentian Sebelah Gua Tempurung di PLUS. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI