IPOH – Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Kerian dan Larut Matang Selama dibuka malam tadi susulan peningkatan jumlah mangsa banjir.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, jumlah mangsa banjir di Daerah Kerian dan LMS meningkat kepada 200 mangsa dari 67 keluarga malam tadi berbanding 79 mangsa dari 29 keluarga sebelum ini.
Menurutnya, seramai 39 mangsa dari 11 keluarga dari Kampung Matang Tengah di Daerah Kerian ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak yang dibuka Rabu lalu.
“Sebanyak tiga PPS baharu dibuka malam tadi di Taiping dalam Daerah LMS iaitu di Masjid Nurul Hidayah, Sungai Bemban, Kuala Trong; Masjid Al-Wusta, Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor, Matang.
“PPS Masjid Nurul Hidayah menempatkan 81 mangsa dari 31 keluarga, kesemuanya dari Kampung Batu 9, Changkat Jering.
“Manakala, PPS Masjid Al-Wusta menempatkan 30 mangsa dari 11 keluarga, dari Kampung Kuala Trong dan Kampung Sungai Punggor.
“Di PPS SK Matang menempatkan 50 mangsa dari 11 keluarga dari Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir dan Kampung Jebong Kiri,” katanya pada Jumaat.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan FT147 Jalan Bagan Serai – Changkat Lobak di Daerah Kerian ditutup kerana berlaku tanah runtuh.
Sehubungan itu, jalan alternatif Alor Pongsu – Bukit Merah dibuka kepada semua kenderaan berat memandangkan paras air kini berada pada 0.42 meter. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bomba selamatkan pasangan suami isteri OKU terperangkap banjir