MANJUNG – Seorang bapa bersama anak lelakinya cedera selepas dipercayai terkena sengatan obor-obor ketika mandi di Pantai Teluk Batik, dekat sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Manjung menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.18 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, didapati dua orang disahkan terkena sengatan obor-obor semasa mandi di pantai tersebut.
“Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 40 dan tiga tahun cedera di bahagian belakang badan dan lengan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Beliau berkata kedua-dua mangsa yang cedera diberikan rawatan khas dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Azlilza Asli itu tamat sekitar jam 12.35 tengah hari. – MG Perak