IPOH – Seorang bekas tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya berusia 14 tahun, pada tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 61 tahun, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun 11 bulan di dua lokasi sekitar Tanjung Rambutan antara Julai 2023 dan Jun 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, M Raveena menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi dan mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Fatimawati Ismail yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan setiap bulan, selain wang pencen turut disekat akibat kes tersebut.
Sehubungan itu, beliau memohon, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan serta menetapkan 8 September depan bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Guru praktikal didakwa enam pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki


