TELUK INTAN – Bapa kepada salah seorang dua remaja perempuan yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Padang Tembak, di sini meminta keadilan sewajarnya terhadap kematian anaknya.
Salim Husain, 43, berkata, dia mahu pemandu kereta yang menyebabkan kematian anaknya, Nur Dania Arissa, 17 dan rakan, Nur Atikah Mohd Said, 16, dikenakan hukuman yang setimpal.
“Ketika kemalangan saya sendiri pergi ke lokasi kejadian dan tengok sendiri orang yang melanggar tu, dan saya dapat menghidu seolah-olah bau orang yang sedang mabuk.
“Biarlah orang yang melanggar dan ambil nyawa anak saya itu dikenakan hukuman setimpal, dua nyawa tu (dia langgar),” katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, pada Isnin.

Menurut Salim, sebelum kejadian, Nur Dania Arissa memaklumkan kepada ibunya bahawa dia ingin ke rumah rakan karibnya, Nur Atikah tidak jauh dari kediamannya dengan menaiki motosikal sekitar jam 6 petang.
Dia yang bekerja sebagai pengurus kilang itu berkata, kira-kira setengah jam kemudian isterinya memaklumkan bahawa anak sulung daripada dua beradik itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
“Rakan kepada isteri saya memaklumkan kepada kami bahawa anak kami terbabit kemalangan di lokasi sekitar 100 meter dari kediaman saya.
“Kemudian, saya terus bergegas keluar rumah untuk ke lokasi kejadian dan tengok memang itu motosikal yang dibawa anak saya. Kemudian saya terus cari anak saya,” katanya sambil menahan sebak.

Salim berkata, meskipun aktif dalam pelbagai aktiviti lasak dan sukan, Nur Dania Arissa merupakan seorang anak yang ceria serta rapat dengan keluarga, terutama ibunya.
“Dia memang seorang yang periang dan aktif bersukan seperti bola sepak serta bola baling. Cuma akhir-akhir ini dia semakin manja dengan ibunya.
“Dua hari berturut-turut, Sabtu dan Ahad, dia naik motosikal bersama ibunya bagi melihat latihan bola sepak adiknya di Tapah. Kami tak sangka itu menjadi kenangan terakhir bersama,” katanya.

Sementara itu, bapa Nur Atikah, Mohd Said Zaini, 55, berkata, dia masih sukar untuk menerima hakikat kehilangan anak bongsunya daripada sembilan beradik itu yang disifatkan sebagai seorang yang ceria dan penyeri keluarga di rumah.
“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya menerima perkhabaran ini. Sejak semalam saya masih belum tidur, apatah lagi makan. Sehingga saat ini, setitik air saya tak lalu untuk minum memikirkan hal menimpa arwah anak saya ini,” katanya.
Menurut tukang rumah itu, sebelum kemalangan, arwah keluar dari rumah selepas meminta izin untuk mengambil pakaian bersama rakannya, Nur Dania Arissa, sebelum berita kemalangan diterima tidak lama kemudian.
“Baru sekejap dia keluar, tiba-tiba kawan datang beritahu dia kemalangan. Mula-mula saya tak percaya, namun apabila anak sulung balik ke rumah dan beritahu adiknya sudah meninggal dunia, saya terus ke lokasi dan nampak jasad anak saya terbaring di tengah jalan,” katanya.

Mohd Said berkata, arwah juga seorang yang ceria, suka bergurau dengan adik-beradik di samping turut aktif dalam aktiviti sukan terutama bola sepak serta bola jaring.
“Kenangan terakhir saya dengan arwah apabila dia minta saya bawa ke Temasya Budaya Perak di Dataran Udang Galah bersama Nur Atikah, pada hujung minggu.
“Dan untuk hal anak saya ini, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Biarlah undang-undang menentukan dan tindakan yang adil diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya lagi.
Difahamkan Jenazah Nur Dania Arissa dan Nur Atikah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, Kampung Padang Tembak, di sini, selepas solat Zuhur.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang Ahad, dua remaja perempuan maut selepas sebuah kereta dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal, sebuah lagi kereta serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
Dua mangsa yang menaiki motosikal kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu, dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian kemudian mengesahkan pemandu kereta berusia 28 tahun didapati positif dadah jenis ‘benzodiazepine’ dan ditahan reman selama empat hari sehingga 30 Julai bagi membantu siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kemalangan dua remaja maut: Polis sahkan pemandu kereta positif dadah
Dua remaja maut, kanak-kanak cedera dirempuh kereta hilang kawalan


