Biskut guna logo halal tidak sah dirampas

TELUK INTAN – Sebuah kilang memproses biskut dan roti diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Teluk Intan selepas terdapat produk yang didakwa menggunakan logo halal tidak sah, sekitar jam 11 pagi semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati premis berkenaan mempunyai Sijil Halal yang sah bagi 26 jenis produk makanan biskut dan roti yang dikilangkan untuk jualan.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, terdapat satu produk iaitu biskut yang dikilangkan dan ditawarkan untuk jualan di premis tersebut tiada dalam senarai Sijil Halal.

“Sebanyak 35 bungkus produk biskut tersebut yang telah siap dibungkus dengan penandaan logo halal dan dipamerkan untuk jualan kepada pelanggan ditemui di dalam premis berkenaan.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah dihasilkan dengan menyita kesemua 35 bungkus produk biskut, bungkusan kosong yang dicetak logo halal dan beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM620.35,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes ini akan disiasat di bawah Perintah (8)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki sebagai pemilik premis perniagaan telah memperaku mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal.

“KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Justeru, pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung produk makanan yang dicurigai status penandaan logo halal,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kilang proses biskut diserbu guna logo halal tidak sah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI