Buli di tandas sekolah: Mangsa tarik laporan polis, kes dianggap selesai

IPOH – Insiden buli terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan satu di tandas sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan di daerah Kerian yang videonya tular di media sosial baru-baru ini dianggap selesai.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ini susulan keputusan mesyuarat jawatankuasa disiplin sekolah yang bersidang pada Selasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.

Menurutnya, kedua-dua pelajar tingkatan tiga itu telah dikenakan hukuman berdasarkan pekelilingKementerian Pendidikan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bentuk hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua pelajar terbabit.

“Apabila berlaku kes buli, mestilah ada laporan dan laporan itu perlu dikemukakan oleh pihak sekolah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kemudian PPD akan kemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan susulan.

“Saya difahamkan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Pembangunan Murid sebentar tadi bahawa kes ini hampir selesai.

“Apabila adanya permuafakatan saya yang disusun dan diatur oleh PPD, pihak sekolah antara keluarga mangsa dengan keluarga pelaku, maka perkara ini telah mendapat kesepakatan dan mungkin kes ini pun dianggap selesai.

“Saya juga difahamkan laporan polis telah ditarik oleh pengadu. Itu sahaja yang saya boleh maklumkan.

“Hukuman itu saya tak sebutlah. Dia buang sekolahkah, gantung sekolahkah, sebab nanti takut timbul isu-isu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Jurnal Bacaan Propulih dan Modul Key To Excellence Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.

Dalam pada itu, Khairudin memaklumkan apabila berlaku kes buli sudah tentu pihak sekolah bersama PPD akan menjalankan program intervensi melalui guru Bimbangan dan Kaunseling.

“Kita akan memberi nasihat, kata-kata semangat supaya pelajar yang menjadi mangsa tidak rasa diri terus terancam dan tidak mahu hadir ke sekolah,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kejadian yang melibatkan disiplin pelajar, buli, pergaduhan atau perkara yang berkaitan.

“Kita memang tidak akan berkompromi kerana sekolah adalah tempat untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, kita kena pastikan budaya yang kurang sihat ini tidak berlaku,” jelasnya.

Pada 25 Jun lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap kes seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang dibuli oleh dua pelajar seniornya selepas menerima laporan pada hari sama.

Difahamkan, mangsa dibuli oleh dua pelajar perempuan yang berusia 15 tahun di sekolah sama pada 14 Jun lalu ekoran cemburu apabila mangsa dikatakan rapat dengan teman lelakinya.

Video berdurasi satu minit 21 saat yang tular di media sosial memaparkan mangsa ditampar dua pelajar lain sehingga tular di media sosial telah mencetus kemarahan warganet. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Akibat cemburu, pelajar tingkatan satu ditampar berulang kali

Buli di tandas sekolah: Polis rakam keterangan tujuh pelajar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI