IPOH – Pihak pendakwaan menolak permohonan representasi yang dikemukakan Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, untuk menggugurkan pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun lalu di
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani ketika prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Norizan Riduan di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Rabu.
Ketika prosiding beliau berkata, pihaknya ada menerima permohonan representasi berkenaan daripada pihak pembelaan, namun arahan yang diterima adalah untuk kes berkenaan diteruskan selepas ia dikaji dan diteliti.
“Permohonan representasi itu antara lain bertujuan memohon agar pertuduhan ditarik balik, namun arahan yang diterima adalah supaya pendakwaan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, Zulzarif Zakuan mengesahkan perkara yang dimaklumkan pihak pendakwaan.
“Pihak pembelaan mengesahkan apa yang telah dijelaskan oleh pihak pendakwaan sebentar tadi. Justeru itu, saya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh, tetapan paling singkat untuk pengurusan kes ini ditetapkan terlebih dahulu,” ujarnya.
Norizan kemudian menangguhkan prosiding susulan ketidakhadiran peguam bela utama, Datuk Naran Singh dan menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

Pada 8 September tahun lalu, Nurhaswani Afni didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dalam daerah Kinta pada jam 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada penerimaan pengakuan direkodkan daripada wanita terbabit.
Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mahkamah arah wanita cuba serang Sultan Perak jalani pemeriksaan mental


