IPOH – Kerajaan Negeri Perak bakal melaksanakan ‘Dashboard Data Perumahan Negeri Perak’ tahun ini, dalam usaha mengawal serta mengelakkan lambakan unit rumah tidak terjual di negeri ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, ‘dashboard’ yang dibangunkan sejak 2023 itu merupakan data berpusat yang memantau perancangan, pembinaan serta rumah yang telah siap dibina di Perak.
“Memang kita nampak buat masa ini secara puratanya keperluan rumah di Perak masih lagi rumah mampu milik, kos sederhana dan juga kos rendah.
“Jadi salah satu sasaran pada tahun ini adalah untuk membangunkan Dashboard Data Perumahan Negeri Perak supaya kita dapat mengumpulkan semua maklumat berkaitan bagi membantu kerajaan negeri menguasai data-data perumahan setiap daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Setingkat Carnelian 1 di Taman Meru Perdana 2, yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad (MK Land), Tan Sri Felina Mustapha Kamal, di sini, pada Ahad.
Shy Ching berkata, data yang diperoleh setiap daerah akan dikaji dengan lebih terperinci bagi melihat keperluan perumahan di kawasan berkenaan termasuklah harga yang diperlukan pembeli.
“Melalui data ini kita akan mengetahui apa sebenarnya harga yang paling diperlukan rakyat di kawasan berkenaan sama ada lebih kepada kos rendah, kos sederhana atau sebagainya.
“Maklumat ini juga dapat membantu pemaju memberi panduan kepada mereka dalam merancang perumahan akan datang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Setingkat Carnelian 1, Shy Ching berkata, pihaknya berharap agar MK Land terus komited dalam usaha membangunkan lebih banyak lagi projek perumahan seumpamanya sama ada rumah mampu milik mahupun pasaran terbuka di Perak.
“Saya telah dimaklumkan bahawa MK Land kini sedang giat membangunkan beberapa lagi projek pembangunan di sekitar kawasan Meru Perdana antara yang bakal dilancarkan adalah projek perumahan teres dua tingkat, Balsa yang menawarkan 74 unit rumah berkeluasan 1,601 kaki persegi.
“Saya juga harus memberi kredit sewajarnya kepada MK Land di atas perancangan pelan pembangunan projek yang begitu teliti sekali, termasuklah dengan pembangunan infrastruktur untuk kemudahan penduduk setempat yang sekali gus membentuk satu komuniti kejiranan yang selesa dan selamat.
“Yang lebih utama, MK Land tidak hanya mengfokuskan kepada keuntungan semata dengan melancarkan projek-projek perumahan pasaran bebas, malah turut bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Perak untuk membangunkan projek perumahan mampu milik untuk manfaat and kesejahteraan rakyat Perak,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: