LUMUT – Perasmian Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung (MPM) oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa membuka lembaran baharu ke arah merealisasikan aspirasi Bandar Raya Pelancongan dan Maritim menjelang 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peristiwa bersejarah itu turut menandakan kejayaan merealisasikan perancangan yang dimulakan sejak 2016 serta menjadi antara detik bersejarah sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun MPM.
Menurut beliau, Dewan Merdeka yang dibangunkan dengan kos RM12.7 juta itu mampu memuatkan sehingga 2,500 orang selain bakal menjadi pusat penganjuran program rasmi, persidangan serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Perasmian Dewan Merdeka pada hari ini menjadi penanda kepada tiga perjalanan yang saling bertaut.

“Pertama, tertunainya sebuah ikhtiar yang dirintis sejak tahun 2016, kedua, kita meraikan perjalanan suku abad Majlis Perbandaran Manjung dan ketiga terbentangnya lembaran baharu ke arah Bandar Raya Pelancongan dan Maritim menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini.
Terdahulu Sultan Nazrin berkenan berangkat merasmikan dewan tersebut diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan exco kerajaan negeri.
Saarani dalam sembah ucapannya berkata, hasrat membina semula dewan itu bermula ketika lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Manjung pada 2016 yang membawa kepada pengumuman peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri bagi membangunkannya di tapak sedia ada.

Beliau berkata, usaha berterusan yang digerakkan oleh Zambry yang merupakan Menteri Besar Perak ketika itu akhirnya membolehkan projek berkenaan diluluskan dan direalisasikan.
Katanya, kejayaan menyiapkan Dewan Merdeka membuktikan pentingnya kesinambungan pentadbiran serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap perancangan memberi manfaat kepada rakyat.
“Penyempurnaan projek ini memperlihatkan nilai kesinambungan pentadbiran serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
“Sesungguhnya, setiap perancangan yang baik memerlukan masa dan ketekunan agar amanah yang dimulakan, akhirnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, nama Dewan Merdeka itu sendiri mengingatkan bahawa kemerdekaan ialah amanah yang perlu terus dipelihara dan diisi dengan nilai-nilai yang mengangkat martabat masyarakat.

“Semoga dewan ini menjadi tempat lahirnya ilmu, terbinanya persefahaman, suburnya semangat muafakat serta berkembangnya pelbagai usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung mengangkat konsep ‘Warisan dalam Kemodenan’ dengan ciri utama reka bentuk rumah kutai, iaitu sebuah bangunan yang mengekalkan roh seni bina Melayu melalui bentuk bumbung, warna dan elemen hiasan tradisional, sambil memenuhi keperluan sebuah pusat konvensyen moden dari segi fungsi, kapasiti dan keselesaan.
Reka bentuk ini menjadikan Dewan Merdeka bukan sekadar sebuah dewan serbaguna, malah sebuah mercu tanda ikonik yang mencerminkan identiti Majlis Perbandaran Manjung sebagai sebuah PBT yang progresif, menghargai warisan dan sentiasa bergerak ke hadapan. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin rasmi Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung


