IPOH – Dunia Islam perlu berani memperbaharui pendekatan bagi mendepani perubahan zaman tanpa meninggalkan nilai yang menjadi asas kepada tamadunnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembaharuan tersebut haruslah dipandu oleh sifat amanah, keadilan, rahmah, kesederhanaan dan tanggungjawab terhadap manusia serta alam sekeliling supaya setiap perubahan membawa manfaat yang lebih adil dan berkekalan.
“Sesungguhnya tamadun Islam tidak dibina semata-mata kerana keluasan wilayah atau kekuatan ekonominya tetapi dihormati kerana berjaya melahirkan masyarakat yang menjunjung ilmu, memelihara keadilan, menghormati maruah insan serta berani meneroka pelbagai cabang pengetahuan untuk manfaat manusia sejagat.
“Maka apabila kita berbicara tentang kebangkitan tamadun Islam pada hari ini, yang perlu kita hidupkan bukan hanya nostalgia terhadap kegemilangan masa lalu, tetapi nilai-nilai yang pernah menjadikan tamadun itu contoh kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutup Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Penyelidikan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) merangkap Pengarah Persidangan WCIT 2026, Kolonel Bersekutu Dr Shamsul Jamili Yeob.

Menyentuh mengenai soal tadbir urus, Saarani berkata, kepimpinan perlu difahami sebagai amanah yang menuntut kejujuran, ketelusan dan kesediaan untuk dipertanggungjawabkan, manakala institusi yang kukuh serta pelaksanaan undang-undang secara adil menjadi asas kepada kestabilan sesebuah negara.
Katanya, kestabilan pula tidak bermaksud menutup ruang perbezaan atau perbahasan, tetapi memastikan setiap perbezaan diurus melalui institusi yang sah, adab yang terpelihara dan rasa hormat terhadap hak pihak lain.
“Prinsip yang sama perlu mendasari pembangunan ekonomi kerana dalam Islam, harta merupakan amanah, manakala pertumbuhan hanya membawa makna apabila manfaatnya membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana, usahawan luar bandar, golongan wanita, belia serta keluarga yang sedang memperbaiki taraf kehidupan.
“Ukuran kemajuan perlu turut melihat siapa yang berkembang bersama-sama, sama ada peluang yang terhasil dapat diakses oleh masyarakat yang memerlukannya dan sejauh mana jurang antara kelompok serta wilayah dapat dirapatkan,” ujarnya.
Dalam konteks Perak, beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan keperluan rakyat sebagai pertimbangan utama, termasuk memastikan pelaburan dan projek strategik diterjemahkan kepada pekerjaan, peningkatan kemahiran, pengembangan perusahaan tempatan serta mutu kehidupan yang lebih baik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
WCIT 2026: Pendidikan bentuk belia beretika hadapi teknologi masa depan


