KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026 (2Q26) berbanding anggaran awal sebanyak 5.8 peratus, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik kekal menjadi antara pemacu utama, disokong prestasi kukuh sektor perdagangan pengedaran, termasuk pertumbuhan berterusan dalam jualan runcit serta peningkatan perbelanjaan kenderaan bermotor.
Menurutnya, keadaan pasaran buruh turut kekal stabil dengan guna tenaga meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun, manakala kadar pengangguran hanya meningkat sedikit kepada 3.0 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku pertama.
Pada masa sama, inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 2.0 peratus yoy pada 2Q26 daripada 1.6 peratus pada 1Q26.
Bagaimanapun, MBSB Research berkata, kuasa beli isi rumah masih relatif kukuh meskipun terdapat peningkatan kos tenaga.
Dari sudut perdagangan luar, eksport barangan melonjak 42.4 peratus yoy, mengatasi pertumbuhan import sebanyak 25.4 peratus. Keadaan itu melebarkan lebihan dagangan suku tahunan kepada RM84 bilion, berbanding RM63.2 bilion pada suku sebelumnya.
Prestasi eksport disokong permintaan kukuh berkaitan sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta aktiviti eksport semula.
Manakala peningkatan aktiviti pelancongan pula dijangka terus menyokong eksport perkhidmatan.
Bagi sektor perkhidmatan, pertumbuhan dijangka kekal hampir dengan anggaran awal 5.4 peratus.
Perdagangan pengedaran berkembang 12.1 peratus yoy pada 2Q26, manakala perdagangan runcit meningkat 6.7 peratus.
Dalam sektor pengeluaran, pengeluaran industri pembuatan berkembang 7.4 peratus tahun ke tahun, selari dengan anggaran awal.
Sementara itu, sektor pembinaan menunjukkan prospek lebih kukuh apabila nilai kerja yang dilaksanakan meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun.
Momentum sektor perlombongan pula susut dengan ketara pada Jun 2026, yang berpotensi menyebabkan pertumbuhannya lebih rendah daripada anggaran awal 10.2 peratus.
Sektor pertanian pula dijangka kekal lemah susulan pengurangan pengeluaran minyak sawit mentah dan getah asli.
Secara keseluruhan, MBSB Research menjangkakan pertumbuhan 2Q26 sebanyak 5.9 peratus, dengan sumbangan utama daripada sektor pembinaan dan lebihan dagangan yang lebih kukuh.
Namun, pertumbuhan dijangka sederhana pada separuh kedua 2026 apabila kesan asas yang menggalakkan semakin berkurangan, selain tekanan daripada harga tenaga yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik.
Bagi keseluruhan 2026, MBSB Research menjangkakan ekonomi Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan sekitar 5.0 peratus, untuk tahun ketiga berturut-turut, disokong prestasi ekonomi yang berdaya tahan pada separuh pertama tahun ini serta pertumbuhan perdagangan luar yang lebih kukuh. – MalaysiaGazette


